Gambar oleh Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) telah menandatangani surat akujanji bagi pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkata, kerajaan bersetuju untuk memperoleh sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap (patient courses) bagi merawat pesakit COVID-19 menerusi perjanjian tersebut.
Keputusan itu diambil sebagai persediaan negara dalam memulakan peralihan ke fasa endemik iaitu hidup bersama COVID-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai 'senjata' melawan virus tersebut, ujarnya lanjut.
"Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir mampu menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50% selain turut berkesan terhadap varian virus COVID-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu.

"Bagaimanapun, saya ingin nyatakan di sini sekalipun ubat Molnupiravir ini berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairy menegaskan bahawa, ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan, sebaliknya hanya bermanfaat kepada individu yang sudah dijangkiti, katanya lagi.
Beliau menekankan bahawa negara memerlukan kedua-dua kaedah vaksin dan ubat untuk menurunkan beban penyakit COVID-19, sekali gus memberikan impak yang lebih besar dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan virus itu.
"Dalam pada itu, KKM akan terus memantau perkembangan pembangunan ubat-ubatan berkaitan rawatan pesakit COVID-19 di seluruh dunia untuk memastikan negara tidak ketinggalan untuk mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia," katanya. - DagangNews.com








