Kerajaan lulus RM5.6 bilion untuk sektor inovasi negara - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan lulus RM5.6 bilion untuk sektor inovasi negara - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah meluluskan 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C&I) dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi negara.

 

Ismail Sabri berkata, projek dan program terbabit diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

 

"Kerajaan juga akan meningkatkan pengkomersialan dan memacu inovasi untuk menghasilkan lebih banyak produk dan penyelesaian berasaskan industri serta mempunyai nilai ditambah yang tinggi. 

 

"Bagi tujuan ini, semua aktiviti R&D&C&I akan dijajarkan dengan keutamaan negara. Aspek pengkomersialan akan diberi penekanan dengan memastikan sekurang-kurangnya 50% jumlah perbelanjaan R&D adalah kepada penyelidikan pembangunan eksperimental," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022, sebuah platform percambahan fikiran untuk mengumpulkan hasil ciptaan pereka cipta tempatan serta membincang dan mengupas idea baharu berkaitan R&D&C&I, yang memainkan peranan penting dalam mempercepat pembangunan sosio ekonomi Keluarga Malaysia.

 

Perdana Menteri berkata, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) bersama United Nations Development Program (UNDP) dan tujuh kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bergabung tenaga menjayakan persidangan itu.

 

"Persidangan pada hari ini berfokus kepada menggalakkan diskusi berkaitan pengkomersialan dan inovasi dengan memberi tumpuan khusus kepada inisiatif pelaburan, pelebaran jaringan serta menyediakan ruang untuk percambahan cetusan idea baharu ke arah merancakkan aktiviti R&D&C&I.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Kedua, menyediakan ruang dan peluang bagi menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui perkongsian maklumat, pengalaman serta amalan terbaik dalam kalangan agensi kerajaan, masyarakat umum, sektor swasta, syarikat pemula, usahawan teknologi, komuniti saintifik dan pereka cipta termasuk di peringkat akar umbi dan B40," katanya.

 

Beliau berkata, persidangan itu dilaksanakan berdasarkan tiga tema utama yang sejajar dengan keperluan sosio-ekonomi negara pada masa kini iaitu Pertanian Lestari dan Sekuriti Makanan, Komuniti Mampan dan Bandar Hijau serta Perniagaan Mampan.

 

Katanya, tema itu juga mendokong objektif RMKe-12, yang bermatlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025. 

 

"Pendigitalan, penerimagunaan teknologi dan inovasi adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

"Saya percaya bahawa persidangan hari ini akan menyediakan ruang dan peluang bagi menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan agensi kerajaan, masyarakat umum dan sektor swasta. 

 

"Usaha ini akan memperkukuhkan lagi ekosistem bagi menggalakkan pelaburan dalam bidang R&D&C&I yang berimpak tinggi," katanya. - DagangNews.com