Kerajaan komited pastikan PKS terus berdaya tahan - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan komited pastikan PKS terus berdaya tahan - Tengku Zafrul

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA SELANGOR 21 Okt - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan komited dalam memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus berdaya tahan.

 

Beliau berkata, sebagai contoh, Bajet 2023 menaikkan peruntukan bagi program SemarakNiaga kepada RM45 bilion berbanding RM40 bilion sebelum ini, lapor Berita Harian.

 

"Sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil," katanya ketika ditemui selepas Program Prihatin Sempena Deepavali di Pekan Bestari Jaya di sini hari ini.

 

Pada program itu, seramai 200 penduduk golongan B40 menerima sumbangan barangan keperluan sebagai persediaan sambutan perayaan berkenaan.

 

Menurut Tengku Zafrul, kemudahan pinjaman mikro bagi masyarakat India di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) juga disediakan dana berjumlah RM25 juta.

 

"Ia membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi para peniaga khususnya peniaga kecil," katanya.

 

 

zafrul

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membuat kajian terperinci bagi mengatasi kesesakan teruk lalu lintas di Bandar Puncak Alam.

 

Katanya, pihaknya telah memanjangkan isu tersebut kepada KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

"Sebelum ini saya menerima beberapa cadangan daripada penduduk tempatan berhubung kesesakan khususnya di Bandar Puncak Alam. Alhamdulilah, saya mendapat maklum balas daripada KKR yang akan membuat kajian lanjut," katanya. - DagangNews.com