KUALA LUMPUR 7 Sept - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan had pembelian maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan (BPT) bagi setiap individu atau syarikat berkuat kuasa serta-merta.
Penetapan dibuat mengikut Peraturan 10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 itu sebahagian daripada usaha kementerian untuk mengatasi gangguan bekalan beras terbabit di pasaran.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, keputusan itu mengambil kira gangguan bekalan BPT yang dikenal pasti berpunca daripada pembelian secara pukal, terutama dalam kalangan peniaga.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati segelintir peniaga membeli BPT sehingga 600 kampit untuk menjimatkan kos dan mengaut keuntungan mudah.
Peniaga kononnya mahu menurunkan kos yang perlu ditanggung mereka dengan membuat pembelian BPT antara 500 hingga 600 kampit.

"Bagaimanapun, peniaga dilihat masih mengekalkan harga nasi di premis masing-masing pada kadar sama. Tiada penurunan harga berlaku, walaupun mereka membeli BPT secara pukal.
"Justeru, kita lihat ada keperluan mengehadkan kuantiti pembelian BPT mengikut ketetapan dalam peraturan sedia ada, walaupun ia tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini," katanya pada sidang media selepas Dialog Belanjawan 2024 Bagi Sektor Padi dan Beras, di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai tindakan sesetengah pihak yang menukar bungkusan BPT kepada kampit beras import untuk mengemukakan bukti sahih supaya tindakan dapat diambil.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat perlu tampil dan membuat aduan ras kepada pihaknya.
"Kalau ada maklumat, sila bawa bukti dan buat aduan rasmi," katanya. - DagangNews.com








