Kenapa pinjaman bank Islam lebih mahal dari bank biasa? | DagangNews Skip to main content

Kenapa pinjaman bank Islam lebih mahal dari bank biasa?

Dalam Islam, sebuah produk yang baik itu tidak cukup sekadar 'halalan' tetapi seharusnya juga 'tayyiban'. - Gambar hiasan
Oleh Haafizah Mohd Rosli

DI sebuah kampung, tinggal seorang tukang kebun, Pak Syamim. Dia ingin membeli sebuah rumah. Disebabkan keadaan kewangannya yang terbatas, dia perlu meminjam duit.

 

Dia mempunyai dua pilihan, sama ada pinjaman daripada bank konvensional atau pembiayaan daripada bank Islam.

 

Setelah disemak, pembayaran semula pembiayaan Islamik lebih tinggi jumlahnya berbanding bank konvensional, namun, dengan berat hati, Pak Syamim memilih pembiayaan Islam demi memastikan dirinya jauh daripada riba.

 

Inilah analogi bagi menunjukkan situasi kewangan Islam di Malaysia yang halal, tetapi mungkin belum mencapai tahap tayyib yang memuaskan.

 

Dalam Islam, sebuah produk yang baik itu tidak cukup sekadar 'halalan' tetapi seharusnya juga 'tayyiban.'

 

 

parafrasa

 

 

Apakah itu halalan tayyiban? Menurut undang-undang syariah, sesuatu itu dikira patuh syariah sekiranya ia tidak mempunyai sebarang elemen yang dilarang dalam Islam.

 

Dalam konteks kewangan Islam, ia bebas daripada elemen-elemen seperti riba, ketidakpastian (gharar), perjudian (maysir), pelaburan yang tidak Islamik, dan sebagainya.

 

Aspek pematuhan syariah dalam kewangan Islam ini tidak diragui lagi kerana para ulama sedunia telah mengeluarkan fatwa yang membenarkan penggunaan kewangan dan perbankan Islam, lalu secara tidak langsung mengesahkan kepatuhan perbankan Islam kepada prinsip-prinsip syariah.

 

Sejak tahun 1983, Malaysia mula menuju ke arah penggunaan perbankan Islam melalui pengamalan konsep mudharabah, musyarakah, ijarah summal bai’ dan sebagainya, dan hingga kini, telah banyak bank-bank Islam yang dibangunkan yang telah memberi banyak pilihan kepada umat Islam di Malaysia untuk menjauhkan diri daripada riba.

 

Maka, apakah seterusnya? Adakah cukup sekadar kewangan Islam menjadi halal? Adakah apabila kita telah mencapai aspek halalnya, lalu kita berhenti sekadar itu? Tidak. Kita perlu juga memenuhi aspek tayyibannya.

 

Apakah maksud tayyiban? Dalam konteks pemakanan misalnya, menurut Imam Ibnu Kathir, tayyiban itu adalah apabila produk itu tidak membahayakan tubuh, akal, dan jiwa, atau dengan kata lainnya, memberi kesihatan kepada manusia.

 

Maka, dalam konteks kewangan Islam pula, tayyiban boleh didefinisikan sebagai sebuah instrumen yang memberi kesihatan kepada kewangan dan ekonomi manusia.

 

 

parafrasa

 

 

Jadi, bagaimanakah kesihatan ekonomi yang baik itu? Adakah dengan memberi bebanan bayaran bulanan yang tinggi itu adalah kesihatan ekonomi yang baik?

 

Maka, walaupun aspek patuh syariah dalam perbankan Islam ini mungkin tidak tertakluk kepada perdebatan, implikasi penggunaannya kepada masyarakat mencetuskan wacana dan persoalan.

 

  • Di sebalik kehalalan kontrak-kontrak dalam perbankan Islam ini, adakah ia benar-benar 'tayyib’ (baik) dan memberi manfaat kepada masyarakat?
     
  • Sejauh manakah peranan kewangan Islam dalam memupuk pembangunan dalam masyarakat Islam dan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi mereka?
     
  • Sejauh manakah kewangan Islam berjaya memenuhi keperluan umat Islam, dan sejauh manakah ia menyumbang kepada kemakmuran keseluruhan negara Islam?
     
  • Pembiayaan berlandaskan sistem Islam adalah halal kerana ia merupakan pembiayaan tanpa faedah, tetapi mengapakah rakyat masih perlu membayar sejumlah yang sama atau barangkali lebih daripada pinjaman konvensional?

 

Jika objektif syariah daripada pengharaman riba itu bertujuan untuk mengelakkan diskriminasi terhadap orang yang memerlukan, mengapakah kesan akhir daripada penggunaan pembiayaan tanpa faedah ini kekal tidak berubah dan sama sahaja seperti perbankan yang mempunyai unsur riba?

 

Ya, dalam kontrak, ia halal kerana tidak ada faedah yang dibayar, tetapi terdapat banyak caj lain yang membuatkan pengguna-pengguna perbankan Islam ini terpaksa membayar lebih daripada apa yang mereka perolehi.

 

Justeru, adakah objektif syariah daripada pengharaman riba ini tercapai dan adakah ia memenuhi aspek 'tayyib' iaitu baik bagi penggunanya?

 

Mekanisme kewangan Islam juga mengikut penetapan harga standard bank konvensional. Meskipun ia halal untuk diikuti sebagai penanda aras persaingan, namun, apabila kerangka pembayarannya adalah sama antara kewangan Islam dan pinjaman konvensional, adakah ia benar-benar 'tayyib' untuk rakyat?

 

 

parafrasa

 

 

Kekurangan 'tayyiban' inilah yang menyumbang kepada kritikan terhadap kewangan Islam – produk Yahudi, riba pintu belakang, manipulasi nama Islam untuk mewajarkan keuntungan, dan sebagainya.

 

Justeru, bagi merealisasikan manfaat kemasyarakatan dan bagi menyelesaikan isu ini, sesuatu perlu dilakukan bagi menambahbaik aspek tayyib dalam kewangan Islam.

 

Tidak dinafikan, sudah terdapat usaha-usaha untuk men’tayyib’kan kewangan Islam seperti meletakkan had kadar maksimum terhadap pembayaran semula pembiayaan perbankan Islam dan sebagainya. Namun, usaha-usaha ini perlulah ditingkatkan lagi agar aspek tayyib ini benar-benar dapat dipenuhi.

 

Apabila kewangan Islam menjadi sebuah produk halalan tayyiban, kesannya akan dinikmati oleh semua pihak. Ia akan benar-benar memainkan peranannya dalam memajukan ekonomi umat Islam.

 

Keadaan umat Islam akan bertambah baik berbanding keadaan umat Islam hari ini yang secara relatifnya lemah ekonominya.

 

Kerana itu kita dapat lihat sekarang, mengapakah terlalu banyak produk yang harus kita boikot? Kerana majoriti produk di dunia ini berkait dengan Israel kerana ia dihasilkan oleh Barat.

 

Mengapakah di saat Palestin diserang, negara-negara Islam hanya mampu memberikan pandangan mereka sahaja tanpa apa-apa tindakan yang tegas seperti sekatan ekonomi dan sebagainya? Kerana negara-negara Islam hari ini tiada kekuatan ekonomi yang mencukupi.

 

Maka, sistem kewangan Islam itu sendirilah yang harus diperbaiki dan ditambahbaik, agar akhirnya, umat Islam lebih maju ekonominya, kewangan Islam itu lebih ramai penggunanya, dan agama Islam lebih rahmah kelihatannya kepada alam sedunia.

 

 

parafrasa

 

 

Akhir kata, artikel ini bukanlah ditulis semata-mata untuk mengkritik kewangan Islam tetapi untuk menyedarkan umat Islam bahawa ada ruang untuk diperbaiki.

 

Sudah terdapat kemajuan yang ketara dalam dunia kewangan Islam. Kita telah mencapai aspek halal kewangan Islam; maka mari kita berusaha untuk memenuhi aspek 'tayyib'nya pula.

 

Pencapaian ini pastinya tidak datang dari hanya mengkritik dan sudah pastinya tidak akan datang daripada keengganan untuk menggunakan perbankan Islam.

 

Jika bukan kita tidak membantu umat Islam, siapa lagi yang akan membela umat Islam dan memperjuangkan pembangunan kewangan dan perbankan Islam? - DagangNews.com

 

Haafizah Mohd Rosli adalah mahasiswi Tahun 4 Fakulti Undang-Undang & Syariah Universiti Sains Islam Malaysia

 

 

DISCLAIMER: Artikel di atas adalah pendapat penulis semata-mata dan tidak mencerminkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com