Kenanga Research tetap yakin prospek pendapatan Malaysian Genomics didorong bahagian biofarmaseutikal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research tetap yakin prospek pendapatan Malaysian Genomics didorong bahagian biofarmaseutikal

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kenanga Research tetap yakin dengan prospek pendapatan Malaysian Genomics Resource Centre Bhd, terutamanya dari suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) dan seterusnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian memandangkan pendapatan kumpulan didorong oleh bahagian biofarmaseutikal yang beransur-ansur meningkatkan rangkaian pengedaran dan jejak di luar negara.

 

“Oleh itu, kami mengulangi saranan ‘outperform’ walaupun unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) masing-masing dikurangkan sebanyak 65% dan 16% dan harga sasaran (TP) diturunkan kepada 80 sen sesaham daripada 95 sen,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan tersebut walaupun keputusan sembilan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) mengecewakan berikuta ia di bawah jangkaannya dengan mencatatkan kerugian bersih RM3.2 juta berbanding ramalan keuntungan bersih setahun penuh firma sebanyak RM5.2 juta.

 

 

BACA: Malaysian Genomics catat kerugian RM2.86 juta pada 3QFY23 kesan kenaikan perbelanjaan modal

 

 

Firma itu menyemak turun anggaran tersebut bagi mencerminkan pengeluaran yang meningkat lebih perlahan di kilang biofarmaseutikal baharunya dan kos permulaan lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Mengulas mengenai prospek, firma itu berkata kumpulan itu mengulangi bahawa pertumbuhan pendapatan dijangka mengumpul momentum pada suku-suku mendatang didorong oleh produk biofarmaseutikal mereka di samping ia meningkatkan rangkaian pengedaran dan jejak di luar negara.

 

“Pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), kumpulan itu telah mendapat sumbangan sulung dari Thailand dan Timur Tengah, serta menjangkakan tempahan akan terus mengalir pada suku-suku akan datang,” ulasnya.

 

Menurut firma itu, Malaysian Genomics disukai olehnya disebabkan kumpulan itu mempunyai penerimaan yang semakin meningkat justeru pertumbuhan luar biasa berpotensi dalam imunoterapi di seluruh dunia.

 

Selain itu, kumpulan itu juga mempunyai hak eksklusif untuk membekal terapi sedemikian di rantau ini di bawah perjanjian pelesenan jangka panjang dengan prinsipal bereputasi dan merupakan pembekal terkemuka penjujukan dan analisis genetik di Asia Tenggara.

 

Setakat pukul 12:15 tengahari ini, saham Malaysian Genomics susut 1.5 sen atau 2.9% kepada 50.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah 65.8 juta. -DagangNews.com