Kenanga Research terus berhati-hati terhadap Pharmaniaga, kekal saranan 'underperform' dengan harga sasaran 31 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research terus berhati-hati terhadap Pharmaniaga, kekal saranan 'underperform' dengan harga sasaran 31 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - Kenanga Research terus berhati-hati terhadap syarikat berstatus PN17, Pharmaniaga Bhd selepas kumpulan farmaseutikal itu memeterai perjanjian konsesi tujuh tahun dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘underperform’ dengan harga sasaran (TP) 31 sen sesaham.

 

"Kami positif dengan perkembangan terbaharu ini yang selaras dengan jangkaan kami bahawa konsesi itu kini ditandatangani dan dilanjutkan secara rasmi. Terdapat sedikit butiran mengenai perjanjian konsesi terbabit.

 

"Bagaimanapun, kami sedar bahawa kerajaan sedang mencari kontrak lebih baik yang berbaloi dengan harga dan Pharmaniaga mungkin perlu menawarkan kadar baharu yang lebih berdaya saing (seperti yang dicerminkan dalam ramalan kami)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat berstatus PN17, Pharmaniaga meterai perjanjian konsesi 7 tahun dengan KKM, nilai tidak didedahkan

 

Menurut makluman Pharmaniaga kepada Bursa Malaysia pada 4 Januari 2024, ia diberi konsesi untuk menjalankan perolehan, penyimpanan, pembekalan dan penghantaran produk perubatan ke pejabat dan kemudahan di Malaysia yang dikendalikan dan dikawal oleh KKM.

 

Perjanjian itu akan berkuat kuasa secara retrospektif mulai 1 Julai 2023, untuk tempoh tujuh tahun sehingga 30 Jun 2030, tertakluk kepada penamatan lebih awal.

 

Di bawah perjanjian konsesi, Pharmaniaga juga dikehendaki melaksanakan penyelenggaraan Sistem Maklumat Farmasi (PhIS) dan Sistem Farmasi Klinik (CPS), pembaharuan lesen, permintaan perubahan dan pelaksanaan sistem di kemudahan baharu berdasarkan kadar kos operasi sedia ada.

 

Selain itu, Pharmaniaga dikehendaki membina empat gudang baharu, sebagai sebahagian daripada pelan belanja modal RM220 juta untuk dibiayai dengan hasil daripada terbitan hak dan penempatan peribadi saham baharu.

 

Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan untuk Pharmaniaga dalam tahun kewangan 2024 (FY24), sama dengan tahap pra-COVID, dengan purata RM40 juta hingga RM60 juta didorong oleh pesanan tetap untuk bekalan perubatan dari konsesi KKM.

 

Pharmaniaga telah memberi panduan untuk tiada lagi peruntukan pada masa hadapan, setelah berjaya menjual beberapa vaksin sementara masih menyimpan stok tidak terjual yang telah dibekalkan sepenuhnya.

 

"Kami tetap berhati-hati terhadap Pharmaniaga kerana ekuiti pemegang saham negatif sebanyak RM264 juta setakat 30 September 2023, menghalang keupayaannya untuk memberikan dividen," tambahnya.

 

Setakat pukul 11:06 pagi ini, saham Pharmaniaga didagang tidak berubah pada 40.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM583.7 juta. - DagangNews.com