Kenanga Research semak naik penarafan sektor pembungkusan plastik kepada 'overweight' | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik penarafan sektor pembungkusan plastik kepada 'overweight'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Kenanga Research menyemak naik penarafan sektor pembungkusan plastik kepada 'overweight' daripada 'neutral' dengan pasarannya diunjur berkembang pada  kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 5% bermula 2021 hingga 2026. 

 

Katanya, pengeluar tempatan dijangka berkembang pada kadar lebih pantas apabila memperoleh bahagian pasaran daripada rakan luar negara dengan memanfaatkan kos tenaga yang lebih rendah dan produk inovatif seperti filem regangan nano dan filem mono yang menandakan kemampanan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemain tempatan juga diunjur menerima aliran pesanan lebih kukuh dalam tempoh segera dibantu peningkatan aktiviti penyimpanan semula pelanggan sebelum kenaikan harga resin. 

 

"Peningkatan momentum jualan dijangka kekal sehingga separuh kedua tahun itu disokong pemulihan aktiviti pembuatan dan perbelanjaan pengguna di seluruh dunia.

 

"Filem regangan nano dan filem mono semakin mendapat perhatian ramai kerana kesedaran ramai terhadap kemampanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Filem regangan nano terkenal dengan sifatnya yang lebih nipis lagi kukuh yang membolehkan pelanggan mengurangkan penggunaan filem tanpa menjejaskan kestabilan beban, manakala filem mono ialah filem kitar semula sepenuhnya yang terdiri daripada satu jenis damar plastik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemain industri tempatan sedang giat mencari pelanggan baharu di dalam dan luar negara dengan menawarkan produk inovatif selain mengambil bahagian secara aktif dalam pameran perdagangan antarabangsa bagi mewujudkan perkongsian strategik serta mengukuhkan kehadiran pasaran.

 

Katanya, sesetengah syarikat mengembangkan kapasiti mereka secara strategik dalam filem regangan premium margin tinggi dan produk filem lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Sementara itu, Kenanga Research mengakui terdapat beberapa risiko penurunan margin dalam sektor itu termasuk peningkatan kos operasi serta peningkatan kos pengangkutan disebabkan konflik Laut Merah yang semakin meningkat.

 

"Peralihan ke arah bahagian yang lebih besar daripada produk premium berpotensi mengurangkan kesan tekanan kos yang semakin meningkat.

 

"Tambahan pula, syarikat di bawah liputan kami telah menumpukan pada mengoptimumkan pengurusan kos melalui inisiatif seperti automasi yang dipertingkatkan dalam proses pengeluaran dan memasang panel solar tambahan untuk mengurangkan kos elektrik yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com