Kenanga Research ramal kerugian bersih Tan Chong Motor meningkat kepada RM112.7 juta pada FY24 kesan perbelanjaan operasi lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ramal kerugian bersih Tan Chong Motor meningkat kepada RM112.7 juta pada FY24 kesan perbelanjaan operasi lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kenanga Research meramalkan kerugian bersih Tan Chong Motor Holdings Bhd meningkat kepada RM112.7 juta pada FY24 berbanding RM60.6 juta yang diramalkan pada FY23 kesan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

 

Katanya, hasil Tan Chong Motor pada FY23 menjunam sebanyak 17% selepas jualan domestik Nissan berkurangan sebanyak 27% atau 10,000 unit kesan persaingan kompetitif selain pelancaran model baharu daripada pesaing lain.

 

Terdapat hanya penurunan kecil dalam segmen perkhidmatan kewangannya yang dipercayai berpunca daripada oleh kadar sewa beli kumpulan yang lebih kompetitif untuk jenamanya sendiri.

 

Dari segi pecahan serantau, pasaran tempatan (90% daripada hasil kumpulan) menunjukkan jualan yang lemah (-12%) dan keuntungan (-43%) didorong oleh hanya tiga model Nissan Almera Turbo, Serena dan Navara.

 

Disebabkan persekitaran operasi yang mencabar, operasi di luar negara terus mengalami kerugian. Operasi di Vietnam (10% daripada hasil kumpulan) merekodkan jualan yang lebih rendah (-53%) dan kerugian yang lebih tinggi sebanyak RM40.1 juta (daripada kerugian RM8.4 juta pada FY22).

 

Pasaran lain (Kemboja, Laos dan Myanmar) mencatat pertumbuhan jualan yang lebih rendah (-40%), dengan kerugian RM4.3 juta.

 

"Kesannya, kumpulan mencatatkan kerugian bersih teras yang lebih tinggi sebanyak RM129.3 juta berbanding kerugian bersih teras FY22 sebanyak RM35.3 juta," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Tan Chong Motor kerana ia memiliki pegangan 1% daripada jumlah jualan keseluruhan industri selain kekurangan pelancaran model baharu.

 

Katanya, kumpulan itu juga tidak berupaya untuk menaikkan harga bagi menangani kenaikan kos pengeluaran terutamanya kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 72 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com