Kenanga Research potong unjuran untung bersih NationGate sebanyak 3% bagi FY24 kesan pendapatan lemah pada 4QFY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research potong unjuran untung bersih NationGate sebanyak 3% bagi FY24 kesan pendapatan lemah pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kenanga Research memotong unjuran untung bersih NationGate Holdings Bhd sebanyak 3% bagi FY24 selepas mencatatkan pendapatan yang lemah pada 4QFY23 disebabkan kegagalan menyerap kos tambahan daripada pertambahan jumlah pekerja.

 

Katanya, peningkatan jumlah pekerja antara 400 hingga 500 orang adalah kesan daripada jangkaan lonjakan pesanan daripada pelanggan namun pertambahan itu tidak secepat yang dijangka.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan jumlah pemuatan yang lebih tinggi daripada bahagian pengkomputeran datanya, didorong oleh model peralatan ruang kewangan terdesentralisasi (DeFi) baharu yang dilancarkan baru-baru ini.

 

Katanya, jumlah pesanan berpotensi mengatasi kapasiti semasa dan kumpulan itu memilih meningkatkan masa bekerja berbanding mengembangkan barisan pengeluaran bagi mematuhi dasar pengurusan risiko dalaman.

 

"Kumpulan itu juga dijangka mengalami pemulihan pendapatan berbentuk V selepas selesai penghijrahan operasi pelanggan produk rangkaian dan telekomunikasi dari China ke Pulau Pinang menjelang Mei 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi 4QFY23 susut kepada RM16.03 juta berbanding RM22.17 juta bagi suku sama tahun sebelumnya kesan daripada hasil yang rendah sebanyak RM171.57 juta berbanding RM214.57 juta.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) susut kepada RM60.92 juta berbanding RM85.6 juta. Hasil kumpulan itu juga susut kepada RM638.2 juta berbanding RM945.7 juta.

 

Kenanga Research berkata, pihaknya menyukai NationGate kerana pendedahan produk perindustrian dan komersial yang berkembang pesat yang digunakan dalam sektor telekomunikasi.

 

Katanya, kemudahan sedia ada Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) yang boleh mengambil alih pekerjaan yang lebih kompleks dan perkhidmatan tambah nilai seperti chip-on-board (COB) yang meningkatkan jumlah pelanggan dan menghasilkan margin yang lebih baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.58 sesaham," katanya. - DagangNews.com