KUALA LUMPUR 11 Mei - Kenanga Research positif terhadap prospek Kimlun Corp Berhad selepas meraih dua kontrak pembinaan daripada Horizon Hills Development Sdn. Bhd. bernilai RM94.5 juta.
Firma itu berkata, kontrak itu adalah bagi kerja-kerja pembinaan utama 78 unit pejabat kedai dan sebuah pusat beli-belah dengan kemudahan di Pulai, Johor yang dijangka siap pada suku kedua 2025.
"Kami positif terhadap kontrak baharu yang telah meningkatkan kemenangan kerja tahun sehingga kini kepada RM360 juta berbanding unjuran setahun penuh kami sebanyak RM1.1 bilion.
"Ia juga meningkatkan kadar tempahan tertunggak sebanyak 5% kepada RM2 bilion, semakin menghampiri kemuncak RM2.4 bilion semasa kitaran naik terakhir pada tahun kewangan 2017 (FY17).
"Kami menganggarkan bahawa kontrak ini akan memperoleh margin keuntungan kasar 7% hingga 9%," kata firma itu dalam satu nota kajian, hari ini.
Untuk sepanjang tahun ini, firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan bahawa kontrak awam akan menyaksikan pelancaran dipercepatkan pada separuh kedua 2024.
Firma itu percaya, kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada projek infrastruktur utama tertentu seperti projek Pan Borneo, Transit Aliran Autonomi Sarawak, projek Sistem Transit Rapid Singapura (RTS) Johor Bahru, serta Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3).
Firma itu juga mengekalkan unjuran serta saranan 'outperform' ke atas kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.12 sesaham.
"Kami menyukai kumpulan itu kerana menjadi penerima manfaat daripada kesinambungan pelancaran projek infra awam; asas pendapatannya yang pelbagai secara geografi dengan kehadiran kukuh dalam segmen produk konkrit pratuang di Singapura.
"Keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh tempahan kerja tertunggak sebanyak RM2 bilion bagi dua tahun akan datang," katanya.
Bagaimanapun, firma itu berkata, kumpulan itu berdepan dengan beberapa risiko termasuk aliran lemah pekerjaan pembinaan yang berterusan daripada sektor awam dan swasta, lebihan kos projek dan liabiliti yang timbul daripada ganti rugi pasti (LAD), serta peningkatan kos bahan binaan. - DagangNews.com








