Kenanga Research naikkan penarafan Amway kepada 'outperform'  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research naikkan penarafan Amway kepada 'outperform' 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, untung bersih Amway meningkat kepada RM53.9 juta. - Gambar : Facebook Amway Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Nov - Kenanga Research menyemak naik penarafan Amway (M) Holdings Bhd. kepada 'outperform' daripada 'market perform' dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM5.65 berbanding RM5.20 sesaham sebelum ini. 

 

Firma itu turut menyemak naik hasil bagi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 16.5% dan 8.1%, sebahagian besarnya mencerminkan peningkatan jumlah jualan dan margin yang lebih baik selepas penyatuan kosnya.

 

Menurutnya, kumpulan kekal berhati-hati tetapi optimis untuk mengekalkan pendapatannya sekitar paras yang dicapai pada FY21.

 

Bagaimanapun, katanya, peningkatan kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mungkin akan menjejaskan pendapatannya.

 

"Walaupun prestasi setakat ini menggalakkan, tetapi jika kesan kadar pertukaran yang lemah terheret disebabkan lindung nilai, mungkin terdapat kelemahan semasa separuh pertama FY23.

 

"Sebaliknya, gangguan rantaian bekalan global dijangka berkurangan menjelang FY23. Ini boleh menyaksikan kos yang lebih rendah untuk kumpulan yang mengimport produknya dari ibu pejabatnya di AS," katanya dalam nota kajian. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersih Amway meningkat kepada RM18.75 juta daripada RM7.96 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut kepada RM371.8 juta berbanding RM383.93 juta berikutan perbandingan sukar yang datang daripada permintaan yang menggalakkan terhadap
Atmosphere Mini yang dilancarkan pada Julai 2021.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, untung bersihnya meningkat kepada RM53.9 juta daripada RM35.93 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM1.12 bilion daripada RM1.09 bilion. 

 

Menurut Kenanga Research, prestasi kewangannya bagi tempoh sembilan adalah melebihi jangkaan kerana campuran produk yang lebih baik mendorong kepada pertumbuhan pendapatan.

 

"Secara keseluruhan, walaupun hanya sedikit peningkatan dalam hasil, pendapatan meningkat 50.7% apabila kos operasi yang lebih rendah dan campuran produk yang lebih baik mengembangkan margin," jelasnya. 

 

Namun, firma itu berkata, risiko kepada penarafan Amway bergantung kepada kelemahan kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS menyebabkan perbelanjaan perolehan yang lebih tinggi, jumlah jualan terjejas akibat tekanan inflasi dan persaingan sengit daripada francais MLM yang lain. - DagangNews.com