KUALA LUMPUR 13 Mac - Kenanga Research memulakan liputan ke atas Icon Offshore Bhd dengan saranan ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) 80 sen berdasarkan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY25 sebanyak 10 kali.
Katanya, penilaian itu sejajar dengan median PER hadapan sebanyak 10.2 kali berdasarkan pemerhatian dalam kalangan syarikat kapal sokongan luar pesisir (OSV) Malaysia dan Singapura semasa kitara 2010 hingga 2014.
Memandangkan potensi pertumbuhan pendapatan kumpulan itu, sasaran PER itu diletakkan secara konservatif.
"Tanpa sebarang tekanan kemelesetan yang ketara, kami berpendapat bahawa pasaran OSV domestik berada dalam keadaan permulaan pemulihan, dengan Icon Offshore bersedia untuk peningkatan pendapatan yang berpanjangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, Petronas mengunjurkan permintaan yang lebih tinggi untuk OSV pada 2024, sejajar dengan peningkatan aktiviti penggerudian.
Katanya, pasaran OSV semakin kukuh, dibuktikan dengan kenaikan kadar sewa harian (DCR) antara 8% hingga 10% pada 2023.
"Pendapatan Icon Offshore dijangka meningkat kerana 11 daripada OSV miliknya yang kini di bawah kontrak Petronas Integrated Logistics Control Tower (ILCT) yang akan tamat tempoh pada 1HFY24, mungkin akan diperbaharui pada kadar pasaran spot yang lebih tinggi.
"Kos jualan dijangka meningkat sebanyak 2% mencerminkan pengurangan inflasi rantaian bekalan. Ini meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan sepenuhnya aliran menaik DCR selepas pembaharuan kontrak," katanya.
Kenanga Research membuat penilaian bahawa kumpulan itu tidak mempunyai keperluan segera atau keperluan jangka sederhana untuk mengumpul dana.
Katanya, ia berikutan penyatuan saham terbitan hak dengan waran percuma pada 2020 dengan kumpulan itu memperoleh RM247 juta dan berjaya menyusun semula hutangnya mengikut terma yang lebih baik. - DagangNews.com







