KUALA LUMPUR 8 Jun - Kenanga Research mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor telekomunikasi susulan taklimat mengenai rancangan Jalinan Digital Negara (Jendela) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu berkata taklimat tersebut mendedahkan bahawa Jendela 1 telah berjaya, melepasi sasaran asalnya dan meletakkan asas bagi mempercepatkan pelancaran rangkaian 5G dan membuka jalan untuk Jendela 2.
“Kebanyakan syarikat telekomunikasi melepasi sasaran asal mereka dari segi menaik taraf, penyambungan menerusi kabel gentian optik dan membina menara baharu namun ada yang tersasar akibat terdapat isu dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam nota hari ini.
Menurut firma itu, keseluruhan aduan rangkaian menurun sebanyak 68% pada tahun 2022, justeru menandakan kejayaan Jendela 1 dalam menyediakan liputan meluas dan lebih cekap.
Jendela Fasa 1 menelan kos RM28 bilion, di mana 40% daripadanya ditanggung kerajaan, manakala Fasa 2 dijangka dilancarkan menjelang hujung 2023 namun setakat ini tidak disebutkan jumlah perbelanjaan itu.
Kenanga Research berkata taklimat itu juga menyentuh mengenai rangkaian 5G kedua yang dijadualkan pada 2024, di mana Malaysia akan beralih daripada rangkaian borong tunggal kepada model rangkaian dwi.
“SKMM juga mengulangi bahawa semua syarikat telekomunikasi terlibat adalah komited untuk mencapai sasaran liputan 5G 80% di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir 2023 bagi melancarkan rangkaian kedua menjelang 2024,” tambahnya.
Pilihan teratas firma itu bagi sektor ini kekal pada CelcomDigi Berhad dengan harga sasaran (TP) RM5.15 sesaham dan Maxis Berhad (TP:5.30).
Pada 7 Jun 2023, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa rangkaian 5G negara telah mencapai 62.1% CoPA setakat 31 Mei 2023, peningkatan 2.6% daripada 59.5% CoPA pada April. -DagangNews.com








