Kenanga Research kekal berhati-hati dengan prospek Nestle berikutan pemulihan margin tidak ketara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research kekal berhati-hati dengan prospek Nestle berikutan pemulihan margin tidak ketara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Kenanga Research kekal berhati-hati dengan prospek Nestle (Malaysia) Berhad berikutan ketiadaan pemulihan margin yang ketara menunjukkan bahawa kumpulan itu masih bergelut dengan kos input lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata walaupun Nestle menyerap kos input yang lebih tinggi (dengan tidak menaikkan harga dengan ketara), masih terdapat risiko bahawa pelanggannya mungkin beralih kepada alternatif lebih murah ekoran inflasi tinggi yang berterusan.

 

“Produk tertentu, seperti bijirin, susu dan susu sejat, mungkin lebih terdedah berbanding yang lain memandangkan ekuiti jenamanya yang rendah.

 

“Namun begitu, kami selesa dengan rangkaian luas dan pelbagai produk makanan ruji Nestle, yang boleh mengurangkan kesan pelanggan beralih kepada alternatif lebih murah, jika ia berlaku,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini susulan laporan kewangan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) kumpulan itu.

 

 

BACA JUIGA: Untung bersih Nestle meningkat 18.7% kepada RM133.7 juta bagi 3QFY23 disokong pertumbuhan jualan positif

 

 

Mengulas mengenai keputusan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), Kenanga Research berkata keuntungan bersih Nestle memenuhi jangkaan dengan merangkumi 72% daripada anggaran tahun penuh firma dan konsensus.

 

Dividen sesaham (DPS) interim sebanyak 70 sen telah diisytiharkan (sebelum tarikh 17 November), menjadikan dividen Nestle setakat tahun ini kepada 140 sen, selaras dengan jangkaan firma tersebut.

 

“Bagi tahun kewangan penuh, kami menjangkakan kumpulan akan mengisytiharkan sejumlah 290 sen, membayangkan nisbah pembayaran dividen 98%,” tambahnya.

 

Kenanga Research menyemak turun unjuran keuntungan bersih FY23 sebanyak 2% tetapi mengekalkan unjuran FY24.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan ‘underperform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM115 sesaham.

 

Setakat pukul 10:08 pagi, saham Nestle menokok 20 sen atau 0.2% kepada RM125.10 dengan permodalan pasaran bernilai RM29.3 bilion.  - DagangNews.com