Kenanga Investors menang keseluruhan Anugerah Rumah Dana Terbaik di Refinitiv Lipper Fund Awards 2022 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors menang keseluruhan Anugerah Rumah Dana Terbaik di Refinitiv Lipper Fund Awards 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kenanga Investors Berhad merangkul lima anugerah dana di Refinitiv Lipper Fund Awards 2022 dan turut memenangi anugerah Kumpulan Aset Campuran Provident buat kali ketiga.

 

Syarikat pengurusan dana itu diiktiraf menerusi Kenanga Growth Fund (KGF) untuk Dana Ekuiti Terbaik Malaysia bagi Tempoh 10 Tahun, Kenanga Malaysian Inc Fund (KMIF), Ekuiti Terpelbagai Terbaik Malaysia bagi Tempoh 3 Tahun; Kenanga Growth Opportunities Fund (KGOF), Equity Malaysia Modal Kecil & Sederhana Terbaik bagi Tempoh 5 Tahun dan Kenanga Diversified Fund (KDF) untuk Aset Campuran MYR Fleksibel Terbaik bagi Tempoh 10 Tahun.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismitz Matthew De Alwis berkata, syarikat mampu meraih prestasi gemilang ketika pergolakan pasaran yang berterusan berikutan ketidaktentuan politik dan pelaksanaan semula langkah-langkah sekatan yang lebih ketat di seluruh negara menjelang akhir suku kedua. 

 

"Sepanjang 2021, pelaburan kami dalam syarikat-syarikat teknologi dan pembuatan tempatan telah membuahkan hasil yang baik. Syarikat-syarikat ini, yang kebanyakannya terlibat dalam rantaian bekalan semikonduktor global, telah meraih manfaat daripada peningkatan permintaan global terhadap elektronik susulan peningkatan trend bekerja dari rumah, selain pelbagai pemacu struktur jangka panjang untuk industri ini. 

 

"Kami menggunakan strategi ‘barbell’ yang memfokuskan tema struktur dan kitaran yang memberikan kami kelebihan daya saing, kerana ia membolehkan kami memberi tumpuan kepada prestasi jangka panjang khususnya dalam tempoh 3, 5 dan 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

De Alwis berkata, pihaknya berbesar hati dengan pengiktirafan kepada KGF atas prestasi cemerlangnya selama 10 tahun dalam landskap ekuiti Malaysia. 

 

 

kenanga
Ismitz Matthew De Alwis

 

 

"Ini juga merupakan tahun ke-5 KGF memenangi dalam anugerah tersebut. Sejak penubuhannya, dana tersebut telah menjana pulangan prestasi sebanyak 522.34%* berbanding penanda aras FBM KLCI pada 64.41%, sekali gus memenuhi objektifnya untuk memperoleh pertumbuhan modal jangka panjang," katanya.

 

Beliau berkata, sebagai langkah ke depan, syarikat akan terus menumpukan fokus pada sektor-sektor dengan pendapatan yang lebih berdaya tahan. 

 

"Kami kekal yakin dengan sektor teknologi pertumbuhan sekular serta sektor nilai/kitaran tertentu seperti pelancongan, perjalanan, pengguna, hartanah dan kewangan. Kami berpendapat, tema pembangunan teknologi mempunyai potensi pertumbuhan yang amat tinggi, dengan banyak ruang pertumbuhan struktur seperti realiti maya, kenderaan elektrik, pembelajaran AI/mesin, 5G dan IoT,” katanya. 

 

Tambah beliau, hasrat Kenanga Investors untuk menyokong landskap Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia akan memfokuskan kepada pendekatan berstruktur pada tahun 2022. 

 

“Pelaburan impak bukan semata-mata membabitkan pelaburan dalam perusahaan bukan keuntungan dan sosial. Bagi mengangkat strategi ini sebagai pendekatan arus perdana dalam industri, kami bersedia untuk mencari dan bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa kawal selia dan rakan kongsi korporat bagi membudayakan ekonomi hijau tempatan," katanya.

 

Katanya, selain itu, syarikat juga akan menumpukan fokus pada penerapan aspek ESG di semua peringkat organisasi, yang merangkumi keseluruhan firma, produk dan peringkat saham. - DagangNews.com