Kenaikan duti setem jejaskan Bursa Malaysia, HLIB 'potong' unjuran pendapatan dengan TP disemak rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan duti setem jejaskan Bursa Malaysia, HLIB 'potong' unjuran pendapatan dengan TP disemak rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Kenaikan duti setem seperti diumumkan dalam Bajet 2022 akan menjejaskan dagangan Bursa Malaysia Bhd. dan menjadikannya pasaran paling mahal dalam kalangan negara ASEAN-5.

 

Ketika pembentangan bajet  pada 29 Oktober lalu, kerajaan menaikkan kadar setem duti bagi nota kontrak untuk dagangan saham di Bursa Malaysia kepada 0.15% (bersamaan dengan RM1.50 bagi setiap RM1,000) daripada 0.1%. 

 

Malah, had setem duti sebanyak RM200 bagi setiap nota kontrak berkaitan turut dimansuhkan mulai 1 Januari 2022. 

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Jeremy Goh berkata, pelaksanaan duti setem itu akan meningkatkan kos dagangan secara drastik sehingga 45% untuk dagangan bersaiz RM1 juta. 

 

Katanya, pedagang yang besar seperti institusi tempatan dan asing paling teruk terjejas, memberi kesan kepada lebih 60% daripada demografi pasaran bursa tempatan. 

 

"Pasaran Hong Kong yang mengumumkan kenaikan duti setem pada awal tahun ini daripada 0.1% kepada 0.13% (berkuat kuasa 1 Ogos) menyaksikan nilai purata dagangan (ADV) merosot sebanyak 44% bagi tempoh Februari hingga November. 

 

"Oleh itu, kami anggarkan dengan kenaikan duti setem ini, akan menjadikan Bursa Malaysia sebagai pasaran dagangan paling mahal dalam kalangan negara ASEAN-5 sebanyak 0.38%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ini berdasarkan kepada perbandingan kos dagangan yang dijalankan HLIB dalam pasaran ASEAN-5 dengan mengandaikan dagangan pada AS$1 juta dan pembrokeran 0.2%.

 

Pada masa ini, kos dagangan di Malaysia sebagai peratusan saiz dagangan adalah pada 0.25%, menyamai tahap di Singapura (0.25%) diikuti Thailand (0.22%) dan Filipina (0.23%) manakala Indonesia adalah yang tertinggi (0.33% dengan mengandaikan dagangan jual).

 

Sehubungan itu, Goh mengurangkan pendapatan Bursa Malaysia bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 1% diikuti FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 13% dan 16%. 

 

Dengan mengambil kira faktor ini, harga sasaran (TP) juga disemak lebih rendah kepada RM5.95 berbanding RM6.52 sebelum ini berikutan anggaran ADV yang lebih rendah

 

"Tetapi, setelah mengambil kira kejatuhan harga saham sebanyak 14.8% sejak ia diumumkan (dan saranan 'jual' kami sebelum ini), kami berpendapat faktor negatif telah diambil kira, justeru, menaik taraf saranan saham Bursa Malaysia kepada 'pegang'," jelasnya.

 

Goh berkata, dengan menjadikan pasaran Hong Kong sebagai contoh dan perbandingan dari segi kos dagangan dalam kalangan ASEAN-5, penguncupan ADV tidak dapat dielakkan untuk Bursa Malaysia apabila duti setem yang lebih tinggi bermula pada tahun hadapan. 

 

"Jelas sekali, kuantum kenaikan juga tinggi untuk bursa (dengan 50 mata asas berbanding Hong Kong, 30 mata asas) dan diburukkan lagi pemansuhan had. 

 

"Mengambil kira faktor ini, kami kini menjangkakan ADV bagi FY22 mencecah RM2.48 bilion, penurunan 30% tahun ke tahun tetapi masih sedikit di atas paras sebelum COVID-19 sebanyak RM2.3 hingga RM2.4 bilion bagi FY17-FY18. Tetapi, kami masih mengekalkan anggaran ADV bagi FY21 sebanyak RM3.54 bilion," jelasnya. - DagangNews.com