KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd menyeru agar Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diperkenalkan semula kerajaan untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri dan pada masa sama merangsang aktiviti sektor hartanah di Malaysia.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, perkara tersebut adalah sebahagian daripada harapan atau 'senarai hajat' untuk Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Oktober ini.
Menurutnya, insentif di bawah HOC seperti pengecualian duti setem 100% untuk hartanah berharga daripada RM300, 001 hingga RM1 juta dan diskaun 10% untuk pembelian hartanah untuk pembeli rumah kali pertama, telah terbukti penting dalam membantu pembeli rumah mendapatkan rumah mereka sambil mengurangkan situasi rumah tidak terjual.
"Kami berharap kerajaan akan melaksanakan langkah tambahan untuk menyokong pembeli rumah kali pertama, menyelaraskan proses pembelian rumah dan mempercepatkan pemulihan industri hartanah.
"Ini amat penting memandangkan kesan pengganda yang ketara ke atas lebih 140 industri, yang akan memberi kesan positif ekonomi keseluruhan.
"Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara berikut sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membantu rakyat, merangsang sektor hartanah dan memajukan wawasannya untuk Malaysia Madani," katanya dalam kenyataan media.
Beliau juga mencadangkan pemberian geran one-off kepada pembeli rumah kali pertama sebanyak RM30,000 untuk hartanah berharga sehingga RM500,000.
ARTIKEL BERKAITAN: Wujudkan semula kempen pemilikan rumah, peruntukan pacu industri hartanah dalam Bajet 2023 – PropertyGuru
"Pemberian ini akan mengurangkan beban kewangan pembeli rumah kali pertama dengan ketara, terutamanya di kawasan bandar di mana harga hartanah terus meningkat.
"Dengan pembiayaan kadar yang lebih rendah dan tetap, sokongan ini akan memberikan kestabilan dan kebolehramalan penting untuk golongan muda Malaysia dan golongan berpendapatan sederhana yang mungkin bimbang tentang kenaikan kadar faedah,” katanya.
Tambahnya, potongan cukai untuk faedah pinjaman perumahan juga boleh diperkenalkan semula.
"Pelepasan cukai ini memberikan sokongan kewangan yang besar kepada pembeli rumah kali pertama dengan membenarkan potongan sehingga RM10,000 setahun ke atas faedah yang dibayar ke atas pinjaman perumahan selama tiga tahun berturut-turut.
"Memperkenalkan semula langkah ini akan menyediakan sokongan kewangan yang besar kepada pemilik rumah baharu untuk mengurangkan beban kewangan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melabur dalam hartanah," ujarnya.
Selain itu, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menghapuskan atau mengurangkan kos pematuhan dan memperkemas proses kelulusan bagi mengurangkan tekanan terhadap kos pembangunan dan harga rumah untuk orang ramai.
Langkah khusus, katanya, termasuk mengurangkan caj pembangunan, menurunkan premium penukaran tanah dan mengecualikan caj caruman utiliti.
Sementara itu, beliau mencadangkan insentif yang lebih besar untuk bangunan hijau dan pembangunan mampan.
“Insentif ini akan menyokong matlamat alam sekitar Malaysia, termasuk komitmen untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050. Dengan menggalakkan penggunaan kaedah pembinaan mesra alam, kerajaan boleh membantu memacu sektor hartanah ke arah amalan yang lebih mampan dan menyumbang secara positif kepada pemuliharaan alam sekitar. - DagangNews.com








