KUALA LUMPUR 31 Mei - Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk menubuhkan panel bagi mengambil tindakan terhadap Kesatuan Eropah (EU) berikutan kempen anti minyak sawit.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang menyambut baik keputusan mesyuarat itu yang bersidang 28 Mei lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia merupakan permohonan kali kedua Malaysia bagi penubuhan panel tersebut untuk meneliti langkah yang diambil oleh EU dalam pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).
Katanya, permohonan pertama bagi penubuhan panel ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat DSB pada 28 April 2021.
"Namun begitu, permohonan tersebut tidak dipersetujui oleh EU yang tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka adalah berasas dan selaras dengan perundangan WTO," katanya dalam kenyataan hari ini.
Permohonan penubuhan panel oleh Malaysia adalah selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO.
Permohonan ini diambil berikutan tiadanya penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang telah diadakan bersama EU pada 17 Mac lalu.
Mohd. Khairuddin berkata, Malaysia akan terus komited dalam meneruskan tindakan undang=undang terhadap EU selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 dan pemfailan kes yang dibuat pada 15
Januari 2021.
Menurutnya, sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.
"Sehubungan itu, tindakan ini adalah perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun
kecil," tegasnya.
Beliau berkata, Malaysia melalui KPPK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan sewajarnya dalam proses ini demi mempertahankan industri sawit negara. - DagangNews.com








