Kelington raih kontrak bina kemudahan pembuatan cip di Sarawak bernilai RM170 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington raih kontrak bina kemudahan pembuatan cip di Sarawak bernilai RM170 juta

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kelington Group Bhd. menerusi Kelington Technologies Sdn. Bhd. meraih kontrak pembinaan kemudahan pembuatan cip bersepadu bernilai RM170 juta di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, Kuching. 

 

Ia menerima kontrak itu daripada pembekal penyelesaian semikonduktor mikro elektronik, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kontrak itu membabitkan kerja-kerja seni bina dan struktur, sivil, mekanikal dan elektrikal serta proses utiliti yang lain.

 

"Nilai kontrak kira-kira RM170 juta adalah tertakluk kepada jumlah kerja sebenar yang dijalankan, bergantung kepada pesanan variasi, pilihan skop dan kejuruteraan nilai.

 

"Kerja-kerja pembinaan akan bermula Januari 2023 dan dijangka siap menjelang Mac 2024," katanya.

 

Kumpulan menjangkakan kontrak tersebut akan menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih Kelington bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24.

 

Dalam penutupan petang ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.47 sesaham. - DagangNews.com