Kelington diramal raih hasil kukuh 2QFY24 disokong buku pesanan cecah RM1.3 bilion - RHB IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington diramal raih hasil kukuh 2QFY24 disokong buku pesanan cecah RM1.3 bilion - RHB IB

Kelington Group Berhad merupakan syarikat kejuruteraan dan gas industri.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kelington Group Bhd dijangka meraih perolehan yang kukuh sekali lagi pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), dibantu oleh buku pesanannya yang mantap dan prestasi kukuh perniagaan karbon dioksida cecair (LCO2).

 

RHB Investment Bank berkata, perniagaan LCO2 Kelington juga sudah disepadukan sepenuhnya susulan urus niaga yang baru selesai dilaksanakan. 

 

"Kelington bakal mengumumkan keputusan kewangan separuh pertama FY2024 pada 21 Ogos ini. Kami meramalkan pertumbuhan hasil dan perolehan teras yang kukuh YoY/QoQ akan berterusan, disokong oleh buku pesanan yang mantap mencecah RM1.3 bilion (setakat akhir Mac) dan tawaran produk yang menguntungkan. 

 

"Margin untung kasarnya (GPM) patut kekal pada paras digit berganda pertengahan atau tinggi, kerana projek-projek ketulenan ultra tinggi (UHP) merangkumi 78% daripada buku pesanan (1Q23: 66%), manakala pengeluaran di loji LCO2 kedua (P2) semakin bertumbuh setelah ia mula beroperasi pada akhir Mac," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment juga mendapati nilai kerja baharu diraih melepasi RM500 juta untuk 1H24 dan kebanyakannya diterima dari China yang banyak mengeluarkan tender. 

 

Kata firma penyelidikan itu, walaupun ada sedikit kelewatan pada tender untuk projek-projek di Singapura, syarikat ini patut tetap dalam landasan untuk mencapai sasaran penambahan buku pesanan RM1 bilion untuk FY24. 

 

"Faktor penggalak buat sektor ini dilihat berterusan sehingga ke FY25, apabila pengeluar cip memanfaatkan permintaan kukuh untuk produk-produk berkaitan pusat data dan AI generatif. 

 

"Kelington juga sedang menender untuk dua projek penting di Jerman, dengan nilai kontrak berpotensi mencecah RM300-RM400 juta. Kejayaan meraih tender ini dapat mengukuhkan lagi buku pesanannya," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment mengekalkan saranan 'Beli' Keling ton dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM3.90 berbanding RM3.85 sesaham sebelum ini dengan potensi kenaikan harga saham 16% dan kadar hasil dividen 2% untuk FY24. 

 

"Kami menaikkan perolehan FY24F-26 sebanyak 2.2%, 2.3%, dan 2.5% setelah mempertimbangkan pengambilalihan ke atas Ace Gases (AGSB), semakan pada andaian margin gas industri dan kenaikan dalam asas saham," ujarnya. - DagangNews.com