Kelemahan purata harga jualan jadi punca untung Press Metal Aluminium susut 22% pada 9MFY23 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kelemahan purata harga jualan jadi punca untung Press Metal Aluminium susut 22% pada 9MFY23 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Kelemahan purata harga jualan (ASP) aluminium menjadi punca Press Metal Aluminium Holdings Berhad mencatatkan penyusutan untung bersih teras sebanyak 22% pada 9MFY23. 

 

Kenanga Research berkata, ia diburukkan lagi oleh kos input tinggi yang turut memberi kesan terhadap margin keuntungan kumpulan itu.

 

Katanya, untung bersih teras 9MFY23 berada jangkaan firma itu pada 73% daripada unjuran setahun penuh tetapi mengecewakan pasaran pada hanya 70% daripada anggaran konsensus setahun penuh.

 

"Pembukaan semula ekonomi China tidak meningkatkan permintaan untuk aluminium dengan ketara, walaupun kerajaan negara itu memperkenalkan pelbagai langkah bagi menstabilkan pasaran hartanah.

 

"Begitu juga, pelancaran projek pembinaan dan infrastruktur di China tidak begitu kukuh seperti yang dijangkakan.

 

"Bagaimanapun, terdapat tanda yang lebih baik untuk pulih daripada sektor solar, kenderaan elektrik (EV) dan infrastruktur transmisi di China," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana kelebihan struktur kos berbanding rakan setara antarabangsa memandangkan aksesnya kepada kuasa hidro kos rendah yang dijamin di bawah empat kontrak PPA jangka panjang yang berakhir antara 2023 dan 2040.

 

Selain itu, bekalan alumina yang terjamin kukuh dengan kepentingan dalam dua pelombong alumina, iaitu Japan Alumina Associate (40%) dan PT Bintan (25%) yang membekalkan 80% keperluannya dan tarikan pelaburan hijau sebagai pengeluar sumber tenaga bersih.


"Kami percaya harga aluminium akan bertahan memandangkan kekangan bekalan di peringkat global. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM5.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com