Kedai buku Borders henti operasi pada 31 Ogos 2023 selepas 18 tahun bertapak di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedai buku Borders henti operasi pada 31 Ogos 2023 selepas 18 tahun bertapak di Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Jun - Borders Malaysia akan menghentikan operasi di negara ini pada 31 Ogos 2023, selepas kira-kira 18 tahun mengendalikan perniagaan peruncitan buku yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu.

 

Pihak pengurusan Berjaya Books Sdn Bhd, yang mengendalikan Borders Malaysia, dalam satu notis ringkas telah menzahirkan penghargaan kepada pelanggan kerana menyokong kedai buku itu selama bertahun-tahun.

 

"Kami benar-benar berterima kasih atas kepercayaan dan kesetiaan yang ditunjukkan kepada kami, dan kami tidak akan dapat melangkah sejauh ini tanpa anda.

 

"Walaupun perjalanan kami akan berakhir, komitmen kami kepada pelanggan akan kekal dan tidak berubah," katanya.

 

Notis itu menambah, Borders Malaysia akan memastikan perkhidmatan pelanggan terbaik sehingga akhir perkhidmatan mereka.

 

Borders Malaysia, sebuah anak syarikat milik penuh Berjaya Corporation, membuka kedai Borders pertama di Malaysia pada 2005 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

 

Kedai buku itu kemudiannya berkembang ke beberapa lokasi yang terletak di terletak di sekitar Kuala Lumpur dengan operasinya kini terletak di Quill City Mall, Bangsar Village II, Hospital Pantai KL dan Hospital Gleneagles.

 

 

borders

 

 

Kedai buku di Bangsar Village 2 akan ditutup bermula 31 Julai ini. 

 

Manakala, pembelian secara dalam talian telah dihentikan sejak 31 Mei lalu.

 

Syarikat pemilik asal jenama buku itu, Borders Group Inc yang berpangkalan di Ann Arbor, Michigan telah memfailkan muflis pada Februari 2011 dan kemudiannya membubarkan semua kedai miliknya apabila semua cawangannya di AS telah menutup operasi menjelang September tahun sama.

 

Borders Group diasaskan pada 1971 oleh adik beradik Tom dan Louis Borders semasa kedua-duanya melanjutkan pelajaran di University of Michigan.

 

Kedai buku pertama Borders dibuka di 209 South State Street, Ann Arbor pada tahun sama.

 

 

borders

 

 

Rangkaian kedai buku itu kemudiannya berdepan cabaran apabila trend membeli buku fizikal semakin merosot dan kali terakhir Borders mencatatkan keuntungan adalah pada 2006.

 

Pendapatan tahunannya menjunam sebanyak AS$1 bilion dalam tempoh empat tahun berikutnya.

 

Pada akhir 2010, Borders dilaporkan menangguhkan pembayaran kepada penerbit bagi inventori yang telah diterima, sehingga menyebabkan syarikat itu berdepan masalah untuk membiayai semula kemudahan kredit, lapor Berita Harian.

 

Selepas diisytihar muflis, cawangan antarabangsa Borders yang beroperasi di negara lain termasuk Malaysia dikendalikan di bawah pemilikan yang lain daripada Borders Group. - DagangNews.com