Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan catat peningkatan eksport pada September 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan catat peningkatan eksport pada September 2023 - DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Tiga negeri telah mencatat peningkatan eksport pada September 2023 iaitu di Kedah sebanyak RM1.9 bilion diikuti Kuala Lumpur (RM961.1 juta) dan Negeri Sembilan (RM81.9 juta), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport Malaysia pada September 2023 bernilai RM124.5 bilion, menurun 13.7% atau RM19.8 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

“Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM6.7 bilion), Pulau Pinang (RM4.8 bilion), Sarawak (RM3.8 bilion), Selangor (RM3.1 bilion), Labuan -RM1.6 bilion), Sabah (RM983.3 juta), Perak (RM537.9 juta), Terengganu (RM524.4 juta), Melaka (RM404.6 juta), Pahang (RM306.4 juta), Perlis (RM25.5 juta) dan Kelantan (RM12 juta),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Infografik Statistik Eksport Import Mengikut Negeri, September 2023
Infografik Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi September 2023

 

 

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 34.6%, diikuti oleh Johor (19.3%), Selangor (17.1%), Sarawak (6.8%) dan Kedah (5%).

 

Mengulas tentang prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir memaklumkan import pada bulan dalam tinjauan turut menurun 11.1% atauRM12.5 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.

 

Menurut beliau, penurunan import disebabkan oleh import lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM5.1 bilion), Pulau Pinang (RM3.7 bilion), Selangor (RM2.0 bilion), Kedah (RM754.5 juta), Sarawak (RM665 juta), Melaka (RM626.5 juta), W.P. Labuan (RM509 juta), Perak (RM255.3 juta), Kuala Lumpur (RM188.1 juta), Sabah (RM103.1 juta) dan Perlis (RM2.4 juta).

 

“Bagaimanapun, nilai import meningkat di Negeri Sembilan sebanyak RM990.5 juta, Pahang (RM591.6 juta), Terengganu (RM78.6 juta) dan Kelantan (RM40.5 juta).

 

“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 26.8%, diikuti oleh Johor (21.1%), Pulau Pinang (20.9%), Kuala Lumpur (7.4%) dan Kedah (6.0%),” tambahnya.

 

Pada 19 Oktober, jumlah perdagangan Malaysia dilaporkan bernilai RM224.4 bilion pada September 2023 dengan nilai eksport RM124.5 bilion dan import bernilai RM100 bilion.  - DagangNews.com