KUALA LUMPUR 26 Okt - Firma-firma penyelidikan menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi 25 mata asas dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2 hingga 3 November ini di tengah-tengah kebimbangan berlakunya kemelesetan global.
Ia berikutan kadar inflasi teras yang masih berlegar pada kadar 4% meskipun inflasi utama menyederhana kepada 4.5% pada September 2022 disebabkan kenaikan yang lebih perlahan bagi kos makanan dan bukan alkohol.
Dengan menjangkakan rasionalisasi subsidi harga bagi makanan utama, bahan api dan tenaga, Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan kadar inflasi tahun ini diunjur berlegar pada 3.3% dan meningkat sehingga 4% pada 2023.
Menurutnya, unjuran itu mengambil impak daripada pelarasan secara berperingkat harga bahan api dan tarif elektrik ekoran semakan semula subsidi pada tahun hadapan.
"Sejajar dengan kadar inflasi yang terus tinggi, persekitaran pasaran pekerjaan bertambah baik dan penjejak bulanan terhadap unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami yang menunjukkan pertumbuhan pantas pada suku ketiga 2022, kami menjangkakan BNM akan menaikkan OPR dalam mesyuaratnya minggu hadapan.
"Ini menjadikan kadar itu pada 2.75% akhir tahun ini apabila BNM dijangka menaikkan lagi 25 mata asas. Kami juga menjangkakan sekali lagi kenaikan 25 mata asas pada awal tahun hadapan menjadikan OPR 3%, kembali ke paras sebelum pandemik," katanya dalam nota kajian.
Data terbaharu Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan Jumaat lalu menunjukkan kadar inflasi Malaysia pada September mencatat 4.5%, iaitu lebih rendah berbanding 4.7% pada Ogos.
Begitu juga perbandingan bulan ke bulan yang menunjukkan inflasi September 2022 terus menyederhana kepada 0.1% berbanding 0.2% pada Ogos 2022. Bagi tempoh Januari hingga September 2022, kadar inflasi adalah 3.3%.
Kenaikan pada bulan tersebut disumbangkan terutamanya oleh peningkatan inflasi kumpulan makanan yang menyederhana kepada 6.8% berbanding 7.2% pada Ogos 2022.

Sementara itu, Kenanga Research berkata, dalam beberapa bulan akan datang, inflasi utama mungkin terus menurun dan berlegar sekitar paras 3.2% hingga 3.8% disebabkan dasar kawalan harga kerajaan dan kesan asas.
Bagaimanapun, peningkatan risiko perang geopolitik Rusia-Ukraine dan dasar sifar COVID-19 China mungkin terus memberi tekanan ke atas harga pengguna, terutamanya makanan.
"Namun, inflasi teras dijangka kekal tinggi untuk beberapa waktu berikutan kenaikan harga bagi input penting yang diimport.
"Bagi memastikan kestabilan harga dan mengelakkan ekonomi domestik daripada terlalu 'panas', BNM mungkin terus menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi untuk kali keempat berturut-turut semasa mesyuarat jawatankuasa dasar monetarinya minggu hadapan," jelasnya.
Pada masa sama, firma itu berpendapat, kemungkinan BNM akan menghentikan seketika kenaikan kadar tersebut ekoran meningkatnya kebimbangan global terhadap kemelesetan yang akan berlaku dan ketidaktuan politik.
CGS-CIMB Research pula berkata, jangkaan awalnya bahawa BNM akan menghentikan kenaikannya pada mesyuarat akan datang kini mungkin tidak berlaku kerana ringgit telah melemah ke paras terendah baharu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan usaha Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih agresif untuk menghambat inflasi.
"Oleh itu, kami kini menjangkakan satu lagi kenaikan OPR kepada 2.75%, dengan pelarasan selanjutnya kepada 3% pada 2023,” katanya.
Menurutnya, inflasi utama dalam beberapa bulan akan datang akan menyederhana disebabkan kesan asas rendah yang hilang pada 2021, serta harga komoditi global yang lebih rendah.
"Selain itu, campur tangan kerajaan dalam beberapa barangan seperti harga ayam dan petrol serta bayaran tol, akan membendung inflasi dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com








