Kapasiti tempat duduk AirAsia X melonjak lebih 9 kali ganda kepada 1.01 juta pada suku ketiga 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapasiti tempat duduk AirAsia X melonjak lebih 9 kali ganda kepada 1.01 juta pada suku ketiga 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - AirAsia X Berhad mencatatkan peningkatan kapasiti tempat duduk lebih 9 kali ganda tahun ke tahun (YoY) kepada 1.01 juta pada suku ketiga 2023 (3Q23) berbanding 110,615 dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata ia telah mencapai faktor muatan penumpang (PLF) yang kukuh pada 80% pada suku dalam tinjauan, menokok tujuh mata peratusan daripada 73% dalam suku ketiga 2022 (3Q22).

 

“Prestasi ini didorong oleh peningkatan 10 kali ganda YoY dalam bilangan penumpang – lebih 807,000 penumpang dibawa pada 3Q23 berbanding hampir 80,500 penumpang dalam tempoh sama tahun lepas,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) melonjak hampir 12 kali lebih tinggi YoY pada 4.4 juta, disokong oleh peningkatan kapasiti tempat duduk dan pemulihan berterusan rangkaian syarikat.

 

Menurut AirAsia X, kapasiti tempat duduk meningkat 24% suku ke suku (QoQ) manakala kapasiti ASK meningkat 26% disebabkan tiga pesawat tambahan dibawa masuk ke dalam perkhidmatan pada 3Q23.

 

Pada suku ketiga, AirAsia X melancarkan laluan kedua ke India dengan penerbangan ke Amritsar (empat kali seminggu) dan laluan keempat di China dengan penerbangan ke Chengdu (tiga kali seminggu), mengukuhkan komitmennya untuk kembali ke pasaran teras terlebih dahulu, yang telah berkhidmat sebelum wabak.

 

“Kekerapan penerbangan melonjak kepada 114 penerbangan seminggu menjelang akhir 3Q23 berbanding 23 penerbangan pada tempoh sama tahun lepas; kekerapan penerbangan meningkat 19% QoQ, dengan Shanghai dan Perth meningkatkan kekerapan kepada penerbangan harian,” tambahnya.

 

Sementara itu, syarikat bersekutunya, AirAsia X Thailand membawa sejumlah 342,078 penumpang, dengan PLF sihat pada 82% untuk suku dalam tinjauan.

 

“Pada 3Q23, kapasiti ASK AirAsia X Thailand meningkat enam kali ganda YoY pada 1,797 juta manakala kapasiti tempat duduk melonjak lima kali ganda YoY pada 416,053 tempat duduk. D

 

“Dari segi rangkaian, kekerapan penerbangan keseluruhan AirAsia X Thailand meningkat sebanyak 15% QoQ dengan kekerapan di laluan Shanghai meningkat kepada enam kali seminggu pada suku tersebut,” katanya.

 

AirAsia X berkata jumlah saiz armadanya kekal dengan 17 pesawat A330s setakat akhir September 2023, dengan 14 pesawat kini diaktifkan dan beroperasi, manakala jumlah saiz armada AirAsia X Thailand ialah lapan buah A330, dengan enam pesawat diaktifkan dan beroperasi.  - DagangNews.com