Kapasiti penggunaan industri pembuatan Malaysia cecah 79.4% pada suku ketiga 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapasiti penggunaan industri pembuatan Malaysia cecah 79.4% pada suku ketiga 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Industri pembuatan beroperasi pada kapasiti penggunaan 79.4% pada suku ketiga 2023, berkurang 1.9 mata peratus tahun ke tahun manakala meningkat secara suku tahunan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kapasiti penggunaan industri pembuatan adalah 79.4% pada suku ketiga 2023, berkurang 1.9 mata peratus berbanding kadar yang lebih tinggi yang direkodkan setahun lalu iaitu 81.3%. 

 

Katanya, hampir semua subsektor mencatatkan penurunan kecuali pembuatan produk makanan, minuman & tembakau (+1.9 mata peratus) dan pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (+1.6 mata peratus). 

 

"Namun begitu, berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan adalah lebih tinggi 1.2 mata peratus berbanding kadar 78.2 peratus (ST2 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata bagi asas bulanan, kadar penggunaan industri pembuatan meningkat pada September 2023 dengan mencapai 80% selepas dua bulan beroperasi pada 78.6% (Julai 2023) dan 79.6% (Ogos 2023). 

 

Katanya, kadar kapasiti penggunaan yang rendah dicatatkan pada suku ketiga 2023 adalah selari dengan pengeluaran output pembuatan, yang merekodkan penurunan marginal 0.1% dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (ST2 2023: 0.1%). 

 

"Faktor utama yang menyumbang kepada kapasiti pengeluaran yang lebih rendah adalah permintaan yang rendah, bekalan bahan yang tidak mencukupi serta pembaikan dan penyelenggaraan mesin dan peralatan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

dosm

 

 

Menurut Mohd Uzir, pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan pembuatan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain mencatatkan kadar kapasiti penggunaan yang melebihi 80% pada suku ketiga 2023 dengan masing-masing pada 81.5% dan 81.4%. 

 

Sementara itu katanya, pembuatan kayu, perabot, produk kertas dan percetakan merekodkan kadar kapasiti penggunaan terendah dengan 77.1%, menurun 1.8 mata peratus berbanding setahun lalu. 

 

"Berbanding suku tahun sebelumnya, kesemua subsektor menunjukkan trend peningkatan kecuali bagi pembuatan tekstil, pakaian, kulit & kasut yang berkurang 0.4 mata peratus kepada 79.6%," katanya.

 

Kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport terus berada dalam trend penurunan, menyusut 2.9 mata peratus tahun ke tahun kepada 78.3% pada suku tahun ini. 

 

Walaupun hampir kesemua industri dalam segmen itu menunjukkan kemerosotan dalam kadar penggunaan, dua industri mencatatkan peningkatan ketara iaitu pembuatan pakaian yang meningkat 8.1 mata peratus, mencapai 82.3%, diikuti dengan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang naik 7.1 mata peratus kepada 76.2%.

 

Berbanding suku tahun sebelumnya, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat 1 mata peratus.

 

Sebaliknya, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan domestik mencapai 81.6% pada suku ketiga 2023, naik sedikit 0.2 mata peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

Tiga industri dengan peningkatan tertinggi direkodkan industri pembuatan produk tembakau (84.4%; +15.6 mata peratus); pembuatan lain (81.6%; +3.7 mata peratus) dan pembuatan produk logam yang direka kecuali mesin dan kelengkapan (81.6%; +2.1 mata peratus). 

 

Berbanding suku kedua 2023, industri berorientasikan domestik mencatatkan peningkatan 1.4 mata peratus.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, pada suku ketiga 2023, tujuh negeri menunjukkan kadar kapasiti penggunaan yang melepasi paras kadar nasional khususnya Wilayah Persekutuan Labuan (97.4%); Negeri Sembilan (86.1%); Melaka (84.4%); Pahang (83.5%); Selangor (82%), Johor (81.5%) dan Terengganu (80.1%). 

 

Katanya, lima negeri mencatatkan peningkatan dalam kadar kapasiti penggunaan berbanding suku yang sama tahun lalu iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sabah dan Labuan. Tambahan lagi, Perlis terus merekodkan kadar kapasiti penggunaan terendah pada 65.5%. - DagangNews.com