Kamera badan bantu tingkatkan integriti anggota polis dan keyakinan rakyat | DagangNews Skip to main content

Kamera badan bantu tingkatkan integriti anggota polis dan keyakinan rakyat

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

"Polis yang terbabit amalan rasuah tidak sepatutnya berada dalam perkhidmatan PDRM", begitulah ketegasan yang dizahirkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menunjukkan iltizam dan kesungguhan beliau dalam membanteras rasuah dan salah laku dalam kalangan anggota polis sekali gus mahu memulihkan imej dan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Ketegasan orang nombor satu PDRM ini menunjukkan beliau sangat serius, justeru anggota masyarakat perlu menyokong penuh apa jua inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan PDRM sebagai usaha untuk memulihkan imej PDRM selain meningkatkan aspek integriti anggota polis.

 

Hal ini penting kerana walaupun baru memasuki tahun baharu namun sudah berlaku banyak insiden membabitkan anggota polis yang mencemarkan nama baik pasukan keselamatan ini, sekaligus menggoncang keyakinan orang ramai.

 

Antaranya, baru-baru ini tular kejadian berhubung isu pembayaran saman yang dikenakan terhadap seorang pemandu warga asing.

 

Rakaman video kejadian tersebut memaparkan pasangan pelancong dari United Kingdom disaman oleh anggota polis trafik yang kemudiannya kelihatan menerima rasuah sebanyak RM100 untuk tidak mengeluarkan surat saman tersebut.


 

parafrasa

 


Manakala dalam satu kejadian lain pula pada 17 Januari lalu, seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan termasuk merogol remaja perempuan warga Uzbekistan berusia 17 tahun dalam kenderaan peronda polis (MPV).

 

Justeru antara inisiatif terkini PDRM yang perlu kita sokong ialah keputusan menyenaraikan kamera badan (BWC) sebagai pemakaian wajib pegawai atau anggota PDRM dalam penugasan.

 

Keputusan ini dilihat mampu meningkatkan tahap integriti dan tanggungjawab setiap anggota polis di negara ini, sekali gus memelihara nama baik dan imej PDRM secara keseluruhannya. Misalnya, kedua-dua insiden di atas pastinya boleh dielak jika anggota polis terbabit memasang kamera badan.

 

Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, mereka yang gagal mematuhi arahan pemakaian BWC terutama Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Motosikal (URB) dianggap melakukan kesalahan tatatertib.

 

Ini membuktikan pihak pengurusan polis sangat serius dalam hal ini bagi meningkatkan tahap integriti anggotanya.

 

 

parafrasa

 

 

Pihak polis dijangka mula menerima 7,648 unit BWC secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025 di mana ia akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya dijadualkan bermula secara berperingkat mulai Oktober 2024.

 

Secara umumnya, segala yang berlaku di lapangan atau lokasi penugasan sama ada membabitkan pegawai, anggota polis atau orang awam akan direkodkan di mana BWC mampu merekodkan pergerakan di lokasi serta tidak mempunyai fungsi memadam rakaman.

 

Malah dilaporkan BWC mampu merakam video dan audio sehingga lapan jam penugasan dan akan dijadikan rakaman bukti percakapan serta perbuatan pesalah atau individu yang diperiksa.

 

Hal ini penting kerana sudah banyak kali pelbagai insiden telah berlaku yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota masyarakat sama ada betul atau tidak tuduhan terhadap salah laku seseorang anggota polis ketika bertugas kerana tiada bukti yang nyata.

 

Hakikatnya banyak kelebihan bilamana penggunaan BWC ini dikuatkuasakan, antaranya dapat meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap anggota polis yang bertugas di lapangan.

 

Pastinya anggota masyarakat rasa lebih selamat di samping tidak perlu khuatir tentang sebarang salah laku dari anggota yang berurusan dengan mereka.

 

Selain itu, penggunaan kamera badan juga dilihat sangat signifikan dalam membantu menangani kes-kes salah laku dan integriti dalam kalangan petugas khususnya anggota MPV dan URB.

 

 

parafrasa

 

 

Kita tidak boleh menafikan fakta bahawa masih terdapat segelintir anggota polis yang terlibat dalam salah laku seperti meminta dan menerima suapan, justeru dengan adanya kamera di badan kelompok ini pasti akan takut dan tidak akan melakukan kesalahan tersebut.

 

Dalam pada itu kamera badan juga boleh melindungi anggota polis daripada menjadi mangsa tohmahan atau fitnah ketika bertugas. Bila semua gerak geri dirakam kita akan ada bukti yang jelas tentang sesuatu kejadian maka tidak mungkin mana-mana pihak berani melemparkan sebarang tuduhan tidak berasas kelak.

 

Justeru kita yakin dan percaya penggunaan BWC bakal memberi banyak manfaat dan kelebihan bukan saja kepada anggota polis tetapi juga kepada anggota masyarakat yang berurusan dengan pihak polis.

 

Ironinya anggota masyarakat juga perlu lebih matang dan profesional dalam menilai peranan dan sumbangan pihak polis. Jangan disebabkan beberapa anggota yang bermasalah dan tidak bertanggungjawab kita melabel keseluruhan pasukan polis tidak amanah dan ada masalah integriti.

 

Jadi diharap penggunaan BWC ini akan membuka lembaran baru untuk kita memulihkan sepenuhnya imej dan nama baik pasukan polis.

 

Cuma diharap penggunaanya kelak lebih cermat dan profesional serta tidak disalah guna termasuklah jangan ada sebarang ruang untuk peralatan ini dimanipulasi secara teknikal.

 

Jika ini dibiarkan berlaku maka kita tidak akan memperoleh manfaat penggunaan BWC sekali gus segala usaha untuk memulihkan imej juga akan jadi sia-sia sahaja.

 

 

parafrasa

 

 

Apapun pada akhirnya besarlah harapan kita agar kelompok anggota polis yang ada masalah integriti dan sudah terbiasa dengan budaya duit kopi akan segera insaf dan tidak mengulangi kesalahan tersebut.

 

Jangan takut hanya kerana ada kamera di badan sebaliknya berubahlah dengan ikhlas demi melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat dan negara.

 

Hakikatnya majoriti anggota polis masih berpegang teguh kepada prinsip dan nilai integriti yang tinggi serta sanggup menggadai nyawa untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara.

 

Dalam konteks ini anggota masyarakat perlu terus yakin dengan kewibawaan pasukan polis dalam melindungi keselamatan rakyat dan negara serta perlu memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha yang dilakukan untuk memulihkan nama dan imej pasukan polis termasuklah inisiatif penggunaan kamera badan seperti ini.

 

Tuntasnya, kita menyambut baik keputusan penggunaan kamera badan ini dengan harapan besar semoga ia dapat meningkatkan integriti anggota polis sekali gus memulihkan imej dan nama baik pasukan di mata masyarakat. - DagangNews.com

 
NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED adalah penganalisis isu semasa, yang bertugas sebagai pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM)