Kalah Perang Bakat: 90% usahawan PKS Malaysia tidak mampu bersaing dengan MNC – kaji selidik Employment Hero | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kalah Perang Bakat: 90% usahawan PKS Malaysia tidak mampu bersaing dengan MNC – kaji selidik Employment Hero

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jun - Sejumlah 90% usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia berkata mereka tidak mampu bersaing dengan syarikat multinasional (MNC) untuk bakat, menurut kaji selidik Employment Hero.

 

Kajian tersebut mendapati bahawa PKS tempatan berdepan dengan cabaran peningkatan kos pengambilan, kekurangan akses kepada alat perekrutan canggih dan ketidakupayaan untuk menandingi gaji MNC, yang menghalang mereka dalam usaha mendapatkan bakat terbaik.

 

Platform teknologi sumber manusia itu berkata penyelidikan baharunya mendedahkan bahawa PKS tempatan sedang bergelut mengatasi pelbagai jurang yang menghalang keupayaan mereka untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik.

 

Kajian itu, yang dijalankan di Malaysia dan Singapura dan meninjau 515 pemimpin pengambilan pekerja, mengenal pasti keperluan untuk selaraskan kedudukan pengambilan bakat antara PKS tempatan dan MNC

 

“Menurut kajian itu, halangan utama yang dihadapi oleh PKS dalam mendapatkan bakat adalah peningkatan kos pengiklanan untuk jawatan kosong, dengan 86% daripada usahawan bersetuju kos pengambilan pekerja telah meningkat daripada tahun sebelumnya, dengan 84% mengatakan kos untuk mengakses laman web jawatan kosong juga terlalu mahal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Employment Hero mendapati bahawa antara punca kos pengambilan pekerja meningkat termasuk kenaikan gaji, kekurangan buruh, peningkatan kos pengeposan papan kerja dan kadar komisen yang lebih tinggi untuk agensi pengambilan.

 

Di samping itu, usahawan PKS tempatan juga menghadapi jurang teknologi, dengan 82% menyatakan teknologi berkualiti yang membantu proses pengambilan pekerja selalunya mahal.

 

Pengarah Urusan Asia Employment Hero, Kevin Fitzgerald berkata kos pengambilan yang semakin meningkat menimbulkan kelemahan besar bagi PKS tempatan, menyebabkan mereka menghabiskan masa untuk merekrut, seterusnya memberi kesan kepada produktiviti dan keuntungan.

 

 

Kevin Fitzgerald
Kevin Fitzgerald

 

 

“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, justeru adalah penting untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada proses pengambilan lancar dan peluang sama untuk menarik dan mengekalkan calon terbaik.

 

“Adalah penting bagi PKS untuk memikirkan semula strategi pengambilan mereka agar mampu bersaing dengan MNC bagi mendapatkan bakat dan ternyata pendekatan baharu menjadi satu keperluan,” ujar beliau.

 

Beliau menambah bahawa PKS boleh menyamakan kedudukan dan mendapatkan bakat terbaik yang diperlukan untuk pertumbuhan dan kejayaan mereka dengan menerima rumusan inovatif dan menyesuaikan amalan pengambilan pekerja. - DagangNews.com