KUALA LUMPUR 7 Dis - Kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia diunjur meningkat kepada 4.7% pada 2024, disokong pemulihan perdagangan luar dan pertumbuhan mampan permintaan dalam negeri.
MIDF Research dalam satu kenyataan media hari ini berkata permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan luar akan menyokong jangkaan peningkatan kadar pengembangan.
Di samping itu, firma penyelidikan tersebut berkata kestabilan dasar monetari di negara-negara utama, pemulihan lebih kukuh di China dan harga komoditi global yang menyokong dijangka meningkatkan perdagangan luar Malaysia pada 2024.
MIDF Research menjangkakan harga komoditi akan kekal stabil, di mana kedua-dua harga minyak sawit mentah (MSM) dan Brent masing-masing dianggarkan pada purata RM3,600 setiap tan dan AS$84 setiap tong pada 2024.
"Ekonomi domestik dijangka dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan, aktiviti berkaitan pelancongan yang lebih sibuk dan pembinaan projek infrastruktur.
"Pasaran pekerjaan Malaysia kekal dalam keadaan baik seperti yang dicerminkan oleh pertumbuhan positif berterusan dalam pekerjaan, penurunan pengangguran dan kadar pengangguran yang lebih rendah," katanya.
Bagaimanapun, firma itu berkata kadar inflasi berkemungkinan berlegar melebihi 3% tahun depan berikutan pelancaran subsidi bahan api bersasar.
MIDF Research berkata ia optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan pasaran ekonomi dan ekuiti untuk 2024, walaupun pada kadar yang stabil dengan banyak faktor yang mempengaruhi 2023 seperti inflasi dan kadar faedah dilihat telah berkurangan.
Sementara itu, firma tersebut percaya bahawa pelaksanaan beberapa dasar kerajaan dan pemulihan dalam perdagangan luar akan menjadi faktor utama untuk dipantau pada tahun 2024.
"Pertumbuhan ekonomi global pada 2024 dijangka lebih kurang pada kadar yang sama seperti yang dianggarkan untuk tahun ini, di mana pengetatan dasar sebelum ini telah mengekang pertumbuhan ekonomi maju. Namun begitu, tekanan permintaan terhadap harga umum telah berkurangan.
"Walaupun aktiviti pengeluaran global boleh meningkat, pulih daripada paras terendah tahun ini, perbelanjaan pengguna akan kekal sebagai faktor utama untuk menyokong pertumbuhan tahun depan disokong inflasi yang mereda, pasaran buruh sihat dan peningkatan pendapatan," katanya.
Bagi negara perdagangan, MIDF Research berkata prospek pertumbuhan akan menjadi lebih memberangsangkan pada 2024 susulan pemulihan aktiviti pengeluaran dan perdagangan global, tetapi berpotensi dihadkan oleh jangkaan kelembapan permintaan daripada ekonomi maju.
Firma itu berkata faktor kenaikan kadar Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan hilang pada 2024 dan pemulihan ekonomi China diunjur berterusan sehingga 2024, menyokong pemulihan perdagangan luar Malaysia. - DagangNews.com







