Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 2.4% pada Jun 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 2.4% pada Jun 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Inflasi Malaysia pada Jun 2023 mereda kepada 2.4%, terendah dalam enam bulan pertama 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.4% berbanding 127.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan inflasi di Malaysia didorong peningkatan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel dengan 5.4% berbanding 6.7% pada Mei 2023.

 

Beliau berkata, makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan 4.7% berbanding 5.9% pada Mei 2023.

 

"Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada Jun 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6%), kesihatan (2%) dan pendidikan (1.9%).

 

"Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan pula masing-masing meningkat 1.8% dan 1.6%. Ini diikuti oleh minuman alkohol dan tembakau (0.6%), pakaian dan kasut (0.1%)," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.7% berbanding 5.9% pada Mei 2023.

 

Subkumpulan daging merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mencatatkan peningkatan 5.2% pada Jun 2023 berbanding 7.8% pada Mei 2023.

 

 

dosm

 

 

Selain itu, subkumpulan susu, keju dan telur mencatatkan peningkatan lebih rendah kepada 6% pada Jun 2023 berbanding 6.5% pada Mei 2023.

 

Subkumpulan minyak dan lemak terus mencatatkan penurunan bagi tiga bulan berturut-turut iaitu negatif 0.9% pada Jun 2023 berbanding -0.4% pada Mei 2023.

 

Mohd Uzir berkata, bagi inflasi di peringkat negeri, 10 negeri mencatatkan peningkatan di bawah paras nasional 2.4% dengan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.2% pada Jun 2023.

 

Bagaimanapun, hanya enam negeri mencatatkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3%), Pahang (2.9%), Putrajaya (2.8%), Selangor (2.7%), Perak (2.7%) dan Melaka (2.7%). 

 

Katanya, inflasi keseluruhan secara bulanan pada Jun 2023 meningkat 0.2% berkadaran sama seperti direkodkan pada Mei 2023. - DagangNews.com