Kadar inflasi Malaysia 4.5% pada September berbanding 4.7% pada Ogos | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi Malaysia 4.5% pada September berbanding 4.7% pada Ogos

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 21 Okt - Kadar inflasi Malaysia pada September 2022 mencatat 4.5%, iaitu lebih rendah berbanding 4.7% pada Ogos 2022, menurut data terbaharu Jabatan Perangkaan (DoSM). 

 

Begitu juga perbandingan bulan ke bulan yang menunjukkan inflasi September 2022 terus menyederhana kepada 0.1% berbanding 0.2% pada Ogos 2022. 

 

Bagi tempoh Januari hingga September 2022, kadar inflasi adalah 3.3%.

 

Bagi bulan September 2022, Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding dengan beberapa negara terpilih seperti Zon Euro (10.0%), Amerika Syarikat (8.2%), Filipina (6.9%), Thailand (6.4%), Indonesia (6.0%) dan Republik Korea (5.6%).

 

Kenaikan pada bulan September 2022 disumbangkan terutamanya oleh peningkatan inflasi kumpulan Makanan yang menyederhana kepada 6.8% berbanding 7.2% pada Ogos 2022. 


 

volatiliti

 


Kenaikan yang perlahan bagi kumpulan Makanan ini didorong oleh komponen Makanan di rumah yang meningkat dengan sederhana, iaitu 5.7% berbanding 6.4% pada Ogos 2022.

 

Subkumpulan Daging yang merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan kepada 6.6% pada September 2022 berbanding 9.9% pada Ogos 2022. 

 

Ini disebabkan terutamanya oleh ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan ini yang mewakili 46.1% telah menunjukkan penyederhanaan kenaikan harga yang signifikan, iaitu 3.7% berbanding 10.7% pada bulan Ogos 2022.

 

Walaupun kumpulan Susu, keju & telur mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 8.8% pada September 2022, namun ianya masih lebih perlahan berbanding peningkatan 9.4% pada Ogos 2022. 

 

Telur ayam yang menyumbang sebanyak 22.8% kepada keseluruhan wajaran subkumpulan Susu, keju & telur turut menyederhana kepada 9.0% berbanding 12.6% pada bulan sebelumnya.

 

Subkumpulan Sayur-sayuran juga telah mula menyederhana pada bulan September 2022 dengan catatan 6.3% berbanding 8.9% pada bulan sebelumnya. Antara sayur-sayuran yang mencatatkan penurunan harga bulan ke bulan adalah tomato (-9.9%), timun (-7.8%) dan kacang buncis (-4.2%). Selain sayuran, beberapa jenis ikan juga mengalami penurunan harga seperti ikan selayang (-3.4%) dan ikan selar kuning (-1.2%).


 

volatiliti

 


Harga maksimum minyak masak tulen kemasan botol pelbagai saiz telah merekodkan penurunan berkuat kuasa 8 September hingga 7 Oktober 2022 dengan kandungan lima kilogram mencatat pengurangan terbesar, iaitu penurunan daripada RM34.70 kepada RM33.50.

 

Kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan jelas melalui kenaikan yang kecil sebanyak 4.8% bagi item minyak sebatian berbanding 6.6% pada Ogos 2022. (Harga siling runcit semasa minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram yang ditetapkan bagi tempoh sehingga 7 November 2022 ialah RM31.50).

 

Pelaksanaan harga maksimum minyak sawit botol dan penetapan paras harga siling ayam yang diperkenalkan oleh Kerajaan, telah memberi impak positif dan melegakan pengguna terutamanya golongan peniaga daripada menampung kos bahan mentah yang tinggi, sekali gus mengurangkan beban mereka.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun Parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022, langkah-langkah untuk mengekang kenaikan harga terus dilaksanakan demi memastikan Keluarga Malaysia tidak terus terbeban dengan kenaikan harga barangan. 


 

tokpa
            Datuk Seri Mustapa Mohamed

 

 

Antara langkah terkini yang diambil oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuklah:

a. Harga siling ayam standard di peringkat runcit dikekalkan pada RM9.40 sekilogram, manakala telur ayam gred A, B dan C, masing-masing pada harga siling 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji;

b. Pemberian subsidi sebanyak 80 sen bagi sekilogram ayam kepada penternak ayam diteruskan sehingga Disember 2022;

c. Pertambahan pemberian subsidi daripada 3 sen kepada 8 sen bagi sebiji telur kepada pengeluar telur ayam juga diteruskan sehingga Disember 2022; dan

d. Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti kartel terutamanya bagi ayam dan telur ayam terus ditingkatkan berikutan terdapat dakwaan berlakunya aktiviti mencatu bekalan ayam dan telur ayam sehingga menyukarkan Keluarga Malaysia mendapatkan bekalan.

 

Mustapa berkata, kerajaan sedar akan pelbagai aduan yang disiarkan di media massa, terutamanya berhubung isu kekurangan telur ayam gred A, B dan C bersubsidi di pasaran.

 

Katanya, MAFI dan KPDNHEP sentiasa memantau isu tersebut dan akan membentangkan hasil pemantauan semasa Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada 25 Oktober 2022. 


 

irsyad

 


"Ini adalah selari dengan usaha Kerajaan untuk memastikan kadar inflasi negara terus terkawal, terutamanya kenaikan harga bagi barangan makanan termasuk Makanan di luar rumah melalui peningkatan kawalan aktiviti pencatutan," kata Mustapa. - DagangNews.com