KAB selesai ambil alih loji janakuasa pertama bernilai RM15 juta di Kedah | DagangNews Skip to main content

KAB selesai ambil alih loji janakuasa pertama bernilai RM15 juta di Kedah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - Kinergy Advancement Berhad (KAB) telah menyelesaikan pengambilalihan keseluruhan ekuiti Future Biomass Gasification Sdn Bhd (FBG) bernilai RM15 juta, yang memiliki sebuah loji janakuasa biogas 2.4 megawatt (MW) di Kedah, daripada Future NRG Sdn Bhd.

 

Terdahulu, perjanjian jual beli bagi pengambilalihan FGB telah dimeterai oleh anak syarikatnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd pada Januari 2023.

 

Ia kini muktamad dan menjadikan FGB satu daripada 33 anak syarikat di bawah Kumpulan Syarikat KAB dan memberikan penyedia rumusan tenaga dan kejuruteraan sehenti itu loji janakuasa biogas pertamanya, yang terletak di Kuala Ketil.

 

Dengan perjanjian pembelian kuasa tenaga boleh diperbaharui (REPPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membekalkan tenaga kepada grid nasional sehingga Mac 2034, loji janakuasa biogas itu dijangka menjana pendapatan berulang jangka panjang bagi kumpulan, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatannya untuk 10 tahun akan datang.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, KAB berkata ia menjangkakan aset baharu itu akan mula menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata kumpulan itu berazam kejayaan transaksi tersebut akan menjadi usaha sulung KAB dalam sektor tenaga boleh diperbaharui biogas.

 

“Dengan siapnya perjanjian jual beli ini, KAB kini dapat memanfaatkan potensi besar industri biogas lebih 500MW di Malaysia. Sektor ini mempunyai potensi pertumbuhan yang besar, memandangkan ketersediaan besar efluen minyak sawit sebagai bahan api di negara ini.

 

“Oleh itu, memperoleh kedudukan strategik dalam bidang ini mengubah keupayaan kami untuk meningkatkan kelebihan daya saing kami dan menambah nilai lagi kepada pemegang kepentingan dan rakan kongsi perniagaan,” ujar beliau.

 

Sehubungan itu, Lai berkata KAB digalakkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap faedah ketara perkhidmatan SES, terutamanya dalam segmen utama seperti penjanaan tenaga bersih, penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan rumusan cekap tenaga.

 

“Perkhidmatan ini kini merangkumi aset biogas, tenaga suria, kuasa hidro, penjanaan bersama dan pemulihan haba sisa di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

 

“Pada masa yang sama, kami menyaksikan minat yang semakin meningkat dalam kalangan perniagaan dalam melaksanakan tenaga mampan di premis mereka,” tambahnya.  - DagangNews.com