KUALA LUMPUR 15 Dis - Jumlah penawaran dan penggunaan Malaysia mencatatkan RM4.6 trilion pada 2021, meningkat daripada RM4.1 trilion pada tahun 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tahunan dua-digit, 13.2% mencerminkan pemulihan beransur-ansur daripada pandemik COVID-19 berikutan pembukaan semula ekonomi Malaysia.
Katanya, sebagai rumusan 2021, daripada segi penawaran, peningkatan telah didorong pengeluaran domestik yang mencatatkan nilai RM3,607.3 bilion (pertumbuhan 10.6%)dan import mencatatkan nilai RM981.9 bilion (pertumbuhan 25.4%).
"Daripada segi sumbangan, pengeluaran domestik menyumbang secara signifikan 78% pada 2021, sementara import dan cukai bersih ke atas produk merekodkan sumbangan masing-masing 21.2% dan 0.8%.
"Pengeluaran domestik telah dipacu sektor pembuatan dengan sumbangan 45%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Daripada segi penggunaan, penggunaan akhir merekodkan 54.7% (2020: 53.9%) manakala penggunaan perantaraan mencatatkan 45.3% (2020: 46.2%).
Penggunaan akhir meningkat 15% daripada RM2,201.2 bilion pada 2020 kepada RM2,530.8 bilion pada 2021. Dalam komponen penggunaan akhir, eksport menyumbang tertinggi dengan 43.2% dan diikuti penggunaan swasta dengan 35.5%.

Pada masa yang sama, penggunaan perantaraan meningkat 11% kepada RM2,097 bilion (2020: RM1,888.5 bilion).
Daripada konteks analisis rantaian, sektor pembuatan menunjukkan nilai 1.97 dan 1.76, masing-masing bagi rantaian ke belakang dan rantaian ke hadapan. Sektor pembuatan dan utiliti merupakan sektor utama dalam ekonomi.
Pertumbuhan yang dialami dalam sektor-sektor itu akan mendorong pertumbuhan dalam sektor lain, disumbangkan kebergantungan yang tinggi pada kedua-dua rantaian penawaran dan penggunaan dalam ekonomi.
Daripada segi analisis pengganda, sektor pembinaan mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang utama pengganda output dengan nilai 1.98 pada tahun 2021.
Ia menunjukkan bahawa sektor pembinaan akan merangsang pengeluaran domestik dalam ekonomi secara keseluruhan. Daripada sudut nilai ditambah pula, sektor perlombongan dan kuari mencatatkan pengganda nilai tambah tertinggi iaitu 0.92. - DagangNews.com








