Jumlah insiden banjir catat penurunan kepada 983 kes pada 2022 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah insiden banjir catat penurunan kepada 983 kes pada 2022 - DOSM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - Bilangan kejadian banjir di Malaysia mencatat penurunan kepada 983 kes pada 2022, berbanding 1,057 pada tahun 2021, ekoran kesan fenomena La Nina, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Sarawak merekodkan jumlah kejadian banjir tertinggi dengan 242 kejadian, diikuti Kedah (108 kejadian), Terengganu dan Selangor (masing-masing 107 kejadian).

 

Katanya, jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana (banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran) menurun kepada 192,707 orang (2021: 208,643 orang).

 

"Sementara itu, bilangan Pusat Pemindahan Sementara juga berkurangan kepada 1,498 berbanding tahun sebelumnya (1,778).

 

"Tambahan pula, kesan La Nina juga telah menyebabkan peningkatan kepada bacaan bilangan hari kilat. Stesen KLIA, Sepang merekodkan bacaan bilangan hari kilat tertinggi iaitu sebanyak 340 hari (2021: 335 hari) pada 2022 diikuti stesen Subang merekodkan 307 hari (2021: 302 hari) dan stesen Melaka sebanyak 273 hari (2021: 231)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Secara umum, pembukaan aktiviti ekonomi serta fenomena perubahan iklim mempunyai pelbagai kesan terhadap alam sekitar pada 2022. 

 

Pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penurunan kes COVID-19 daripada 2,645,076 kes pada 2021 kepada 2,268,591 kes pada 2022 menyebabkan kuantiti sisa klinikal menguncup sebanyak 14.4% pada 2022 kepada 49.1 ribu tan metrik berbanding 57.4 ribu tan metrik pada 2021. 

 

 

DOSM

 

 

Terdapat tiga negeri yang merekodkan jumlah sisa klinikal terbesar iaitu Selangor (10.6 ribu tan metrik), W.P. Kuala Lumpur (5.8 ribu tan metrik) dan Sarawak (4.7 ribu tan metrik).

 

Cuaca lembap yang disebabkan La Nina memberi kesan langsung kepada alam sekitar. Hujan tahunan di 22 stesen menunjukkan peningkatan antara 26.0 mm – 1,749.4 mm.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, cuaca hujan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes meningkat sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi. 

 

"Kes demam denggi di Malaysia meningkat dengan ketara sebanyak 150.9% kepada 65,987 kes pada 2022 berbanding 26,301 kes pada 2021. Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 37,502 kes (2021: 15,712 kes), diikuti Sabah (7,092 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk Putrajaya (6,714 kes)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, kesan pembukaan semua aktiviti ekonomi pada 2022 telah memacu ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7% berbanding 3.3% yang dicatatkan pada 2021. Penduduk kembali bergerak untuk aktiviti ekonomi, sosial atau riadah dan dengan itu, membawa kepada peningkatan bilangan pengguna jalan raya. 

 

Katanya, secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kemalangan jalan raya serta kematian yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya.

 

Tambah beliau, jumlah kemalangan jalan raya telah meningkat dua digit pada 2022 selepas menurun selama dua tahun berturut-turut. 

 

"Kemalangan jalan raya meningkat 47.3% kepada 545,585 kes berbanding tahun sebelumnya (2021: 370,286 kes). Selangor mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya tertinggi dengan 156,815 kes diikuti Johor(76,028 kes) dan Kuala Lumpur (62,428 kes). 

 

"Tambahan pula, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat 34% kepada 6,080 kematian pada 2022 berbanding 4,539 kematian pada tahun sebelumnya," katanya. - DagangNews.com