Juara remaja dunia sertai Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 bermula 6 hingga 10 November ini | DagangNews Skip to main content

Juara remaja dunia sertai Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 bermula 6 hingga 10 November ini

Promoter Ace Sports & Management, Jadish Kumar (kiri) bersama Nicole Tan (dua dari kiri) Low Wee Wern (dua dari kanan) dan Chandaran Munusamy (kanan) selepas Majlis Perasmian Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Okt - Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 yang akan berlangsung 6 hingga 10 November ini bakal menampilkan barisan pemain ternama dunia seperti Mostafa Asal, Nour El Tayeb dan Juara Remaja Dunia, Amina Orfi.

 

Kejohanan itu akan turut disertai pemain dari 20 negara dan bakal berlangsung di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Datuk Haji Mohd Said, Negeri Sembilan.
 

Pada masa sama, Siri Kejohanan Satelit PSA WSF peringkat ke-13 akan berlangsung mulai 8 hingga 10 November di tempat yang sama dengan jangkaan lebih daripada 4,000 penonton untuk kedua-dua kejohanan.
 

Dianjurkan oleh ACE Sport and Management Sdn Bhd, pemegang hak eksklusif untuk Siri Jelajah Dunia PSA – Peringkat Gangsa, kejohanan ini akan mengukuhkan Negeri Sembilan sebagai destinasi skuasy utama Asia.
 

Ketua Pegawai Eksekutif ACE Sports & Management, Chandaran Munusamy, Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 merupakan acara yang akan mengangkat sukan skuasy Malaysia ke pentas antarabangsa.

 

"Kejohanan 12 Squash Satelit  PSA WSF telah menjadi asas kami dan kini acara Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 menandakan langkah seterusnya dalam membawa acara-acara bertaraf dunia ke landskap sukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu,Exco Pelancongan Negeri Sembilan, Nicole Tan berkata, kejohanan tersebut sebagai pemangkin dalam sektor pelancongan dan lambang kecemerlangan sukan dan hospitaliti yang bakal menarik perhatian dunia menerusi penyiaran di Astro dan Squash TV.
 

"Sukan adalah aktiviti menyihatkan yang menggalakkan gaya hidup sihat. 

 

"Acara antarabangsa seperti ini akan menarik perhatian mengenai apa yang boleh ditawarkan negeri ini dalam sektor pelancongan sukan," katanya.
 

Sementara itu, pengunjung bakal menikmati suasana seperti karnival manakala pemain skuasy akan mendapat manfaat daripada klinik skuasy yang ditawarkan oleh Faragallah Squash and Fitness Academy (FSA) dari Kaherah, Mesir. - DagangNews.com