Jualan UMW Toyota meningkat 8% kepada 76,511 unit setakat September 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan UMW Toyota meningkat 8% kepada 76,511 unit setakat September 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - UMW Toyota Motor mencatat peningkatan jualan sebanyak 8% kepada 76,511 unit sehingga September lepas berbanding 70,872 unit tempoh sama tahun lalu.

 

Toyota mengakhiri September 2023 dengan pertumbuhan mampan, mencapai jumlah jualan bulanan sebanyak 9,228 unit, yang terdiri daripada 9,020 unit untuk Toyota dan 208 unit Lexus. 

 

Toyota terus mengukuhkan tawarannya untuk pemandu di Malaysia dengan pengenalan Yaris IMP bagi mengukuhkan kedudukan utamanya dalam pasaran hatchback segmen B bukan nasional. 

 

Menampilkan penambahbaikan penggayaan, teknologi baharu dan suasana dalaman yang segar, Toyota Yaris baharu dibina berdasarkan kejayaan ketara model sedia ada, yang terjual lebih 60,300 unit sejak pelancarannya pada 2019. 

 

Selain itu, Toyota turut memperkenalkan aplikasi Toyota MY baharunya bagi menawarkan pengalaman digital yang dipertingkat dan lebih lancar kepada pelanggan dengan menggabungkan ciri aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven ke dalam aplikasi tunggal.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, bagi memenuhi jangkaan pelanggan Toyota, pihaknya terus mengemas kini dan menambah baik tawaran, seperti Toyota Yaris terbaharu yang mencerminkan slogannya. 

 

Katanya, Yaris IMP disasarkan kepada pemandu Gen-Z yang mempunyai penghargaan yang tinggi terhadap gaya, ekspresi diri dan kedudukan sosial. 

 

 

toyota
Datuk Ravindran K

 

 

"Daripada penampilan luarannya yang bergaya hinggalah kepada teknologi canggih yang ditambah dengan ciri Toyota Safety Sense, Yaris baharu menawarkan keselesaan pemanduan yang dipertingkatkan dan ketenangan fikiran semasa setiap pemanduan. 

 

"Di samping itu, falsafah korporat kami tentang kaizen atau penambahbaikan berterusan, memberi inspirasi kepada kami untuk melampaui mencipta kenderaan memenuhi keperluan pemandu," katanya.

 

Sementara itu, awal bulan ini menyaksikan pelancaran  pertandingan seni global Peraduan Seni Kereta Impian Toyota 2023/24, edisi ke-17 yang bertujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk berfikir di luar kotak dan berkongsi idea imaginatif mereka tentang masa depan mobiliti. 

 

Bertemakan “Igniting Young Minds to Reimagine Mobility” tahun ini, pertandingan yang bermula pada 9 Oktober akan menyaksikan sembilan pemenang Malaysia daripada tiga kategori berusia bawah tujuh tahun hingga 15 tahun mewakili negara ke pertandingan dunia pada 2024. 

 

Pertandingan popular itu, yang menerima sejumlah 780,000 penyertaan dari 90 negara dan wilayah pada 2022, mencerminkan inisiatif berterusan Toyota untuk memacu penglibatan masyarakat yang bermakna di peringkat global. - DagangNews.com