KUALA LUMPUR 19 Mei - Jualan kenderaan di Malaysia pada April merosot 9.34% kepada 57,912 unit berbanding 63,878 unit yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), antara faktornya disebabkan kekurangan bekalan cip komputer memberi kesan kepada sesetengah pengeluar.
"Di samping itu, jualan lebih rendah ini juga berpunca daripada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada April, jualan kenderaan penumpang merangkumi 52,628 unit dan 5,284 unit kenderaan komersial.
Setakat ini, jumlah jualan kenderaan meningkat 89.29% kepada 199,556 unit berbanding 105,424 tahun lalu.
Sementara itu, pengeluaran kereta pada April meningkat 187 kali ganda kepada 51,390 unit berbanding 275 unit tahun sebelumnya.
Ini menjadikan jumlah pengeluaran setakat ini meningkat 82.56% kepada 198,476 unit daripada 108,719 unit pada tahun lalu.
MAA menjangkakan jumlah jualan pada Mei adalah lebih rendah berbanding April berikutan pelaksanaan semula PKP 3.0.
"Walaupun aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi, tetapi dengan jumlah jangkitan baharu dan langkah sekatan ini, akan menjejaskan perniagaan dan trafik di galeri pameran kenderaan," katanya.
Malah, persatuan itu juga melihat tempoh bekerja yang singkat ekoran cuti Hari Raya dan kekurangan bekalan cip komputer akan terus memberi kesan kepada pengeluar kenderaan pada Mei. - DagangNews.com








