KUALA LUMPUR 20 Feb - Jualan kenderaan melonjak 31% kepada 65,499 unit pada Januari tahun ini berbanding 50,168 unit pada bulan yang sama tahun lalu.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), ini berikutan jualan kenderaan penumpang yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, dari segi perbandingan bulan ke bulan, jualan kenderaan pada Januari 2024 merosot antaranya disebabkan tawaran hujung tahun yang menarik.
"Jumlah jualan keseluruhan industri bagi Januari 2024 adalah 16 peratus lebih rendah daripada 78,398 unit pada Disember 2023.
“Jualan yang lebih tinggi pada Disember 2023 adalah disebabkan syarikat meningkatkan penghantaran kenderaan untuk memenuhi pesanan tertunggak, terutamanya bagi syarikat dengan tahun kewangan berakhir Disember 2023 dan tawaran murah akhir tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Proton berjaya jual 12,882 kenderaan pada Januari 2024, satu-satunya jenama catat peningkatan berbanding Disember 2023
Kata MAA, jualan pada Februari 2024 dijangka lebih rendah berbanding Januari 2024 disebabkan bulan bekerja yang lebih singkat berikutan cuti Tahun Baharu Cina.
"Jualan kenderaan penumpang berjumlah 59,394 unit pada Januari 2024, meningkat 33% berbanding 44,586 unit pada Januari 2023, manakala kenderaan komersial meningkat 9% tahun ke tahun (y-o-y) kepada 6,105 unit, berbanding 5,582 unit.
"Pengeluaran kenderaan penumpang meningkat 31% kepada 71,666 unit pada Januari tahun ini, daripada 54,663 unit, manakala pengeluaran kenderaan komersial meningkat 14% kepada 4,411 unit, berbanding 3,864 unit pada bulan yang sama 2023," kata MAA yang mewakili pemasang, pengedar dan penjual kenderaan dalam dan luar negara.- DagangNews.com








