Jualan kenderaan baharu meningkat 21% kepada 57,991 unit pada April 2024 - MAA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan kenderaan baharu meningkat 21% kepada 57,991 unit pada April 2024 - MAA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Jualan kenderaan baharu pada April 2024 melonjak 21% kepada 57,991 unit berbanding 47,802 pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

Persatuan itu berkata, bahawa jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagaimanapun, adalah 18% lebih rendah berbanding TIV Mac 2024 sebanyak 71,052 unit.

 

"April adalah bulan bekerja yang singkat kerana cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebanyak 53,253 kenderaan penumpang telah dijual pada April, meningkat 25% daripada 42,587 unit yang dijual setahun sebelumnya, manakala jualan kenderaan komersial jatuh 9% dari tahun ke tahun kepada 4,738 unit berbanding 5,215 unit.

 

MAA berkata, jumlah jualan bagi empat bulan pertama tahun ini meningkat 8% kepada 260,236 unit berbanding 240,417 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama pada 2023.

 

TIV terdiri daripada 238,247 kenderaan penumpang (naik 11%) dan 21,989 kenderaan komersial (turun 15%).

 

Katanya, dari segi pengeluaran sejumlah 56,895 kenderaan dikeluarkan pada April 2024, meningkat 38% daripada 41,160 unit pada bulan yang sama tahun lepas.

 

"Daripada jumlah itu, 53,857 unit adalah kenderaan persendirian, melonjak 40% daripada 38,575 unit tahun sebelumnya, manakala kenderaan komersial terdiri daripada 3,038 unit, meningkat 18% daripada 2,585 unit sebelumnya," katanya.

 

Sehingga kini, MAA berkata, sebanyak 267,326 unit dikeluarkan, iaitu 12% lebih tinggi daripada 239,554 unit dikeluarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Ini termasuk 253,056 kenderaan penumpang (naik 13%) dan 14,270 kenderaan komersial (turun 3%).

 

Mengulas mengenai prospek Mei 2024, MAA meramalkan jualan "lebih tinggi sedikit" berbanding bulan terdahulu.- DagangNews.com