KUALA LUMPUR 14 Mac - Walaupun jualan Bermaz Auto Berhad di Malaysia terjejas akibat faktor musim pada suku tahun ketiga, namun prestasi syarikat itu di Filipina masih kukuh.
Menurut RHB Investment Bank (RHB Investment), ini apabila Bermaz Filipina mencatat kenaikan hasil 2% suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) dalam perbandingan QoQ, manakala jumlah jualan hanya menyusut 0.7% QoQ.
Kata firma penyeldikan itu, prestasi di Filipina ini disokong khususnya oleh permintaan untuk model CX-60 yang meningkat tiga kali ganda QoQ.
"Prospek kelihatan masih menggalakkan untuk Bermaz Auto kerana ia bakal mencatat perolehan tahunan yang memecah rekod sekali lagi.
"Walaupun tunggakan pesanan sudah kembali kepada paras sebelum pandemik, iaitu sebanyak 2,000 unit, jumlah jualan Mazda sepatutnya kekal bertahan pada suku-suku akan datang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Bermaz Auto susut kepada RM74.5 juta pada 3QFY24
Menurut RHB Investment, hal ini dibantu oleh pelancaran model baharu CX-3 dan CX-5 pada bulan Januari.
Tambahan lagi katanya, model kereta pemasangan tempatan untuk CX-30 tetap mendapat sambutan ramai yang merangkumi 40% jumlah jualan model untuk 3QFY24.
Jelas firma penyelidikan itu, di Filipina, model kereta Mazda CX-60 dan CX90 yang baru sahaja dilancarkan sepatut mampu meningkatkan jualan kereta.
"Kami rendahkan perolehan FY24F-26F sebanyak 3-9% setelah mengurangkan andaian untuk jualan kereta dan sumbangan syarikat bersekutu, dan juga belanja faedah dan pendapatan bagi mencerminkan prestasi yang lebih baik untuk 9MFY24," ujarnya.
RHB Investment juga memberi harga sasaran (TP) baharu Bermaz Auto RM3.35 sesaham.
"Bermaz Auto tetap menjadi syarikat pilihan utama untuk sektor ini berikutan jualan kereta yang bertahan yang dibantu oleh pelancaran model kereta yang berterusan dan pulangan kadar hasil dividen 9% bagi FY25F.
"Risiko negatif utama termasuk tempahan dan penghantaran kereta lebih rendah daripada jangkaan, dan timbulnya kekangan dalam rantai bekalan," katanya.- DagangNews.com








