KUALA LUMPUR 31 Julai - Ahli Kumpulan MMC, Johor Port Bhd memeterai perjanjian dengan PT Pelindo Jasa Maritim untuk meningkatkan sektor maritim dan memupuk hubungan dua hala yang lebih kukuh antara kedua-dua organisasi.
Johor Port berkata, PT Pelindo Jasa Maritim merupakan anak syarikat PT Pelabuhan Indonesia (Persero) yang mengendalikan penyediaan perkhidmatan marin, penyelenggaraan peralatan pelabuhan, dan perkhidmatan utiliti Pelabuhan.
Katanya, ia turut memainkan peranan penting dalam menyokong industri maritim di Indonesia dan memudahkan perdagangan dan pengangkutan melalui aktiviti berkaitan pelabuhan.
"Perjanjian ini merupakan suatu pencapaian di dalam industri maritim serantau dalam berkongsi kepakaran, sumber dan amalan terbaik antara kedua-dua organisasi terkemuka ini," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian tersebut diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir dan PT Pelindo Jasa Maritim diwakili pengarah sumber manusianya, Rachmat Prayogi yang berlangsung di Johor Bahru.
Johor Port melalui JP Skills Centre (JPSC) yang menyediakan latihan kepada pelabuhan tempatan dan serantau, dan Jabatan Perkhidmatan Marin yang menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan marin untuk semua kapal di dalam Had Pelabuhan Pasir Gudang akan meneroka potensi kerjasama dan peluang bersama PT Pelindo Jasa Maritim.
Ia meliputi bidang perkhidmatan pembangunan modal insan untuk meningkatkan potensi sedia ada khususnya dalam bidang maritim.

Selain itu, ia melibatkan kerjasama pengendalian perkhidmatan dalam bidang marin, peralatan dan pelabuhan (MEPS) serta pembangunan pemasaran dalam bidang MEPS.
Sementara itu, Md Derick berkata, kerjasama ini merupakan lembaran baharu dalam hubungan maritim antara kedua-dua negara.
"Kami juga percaya bahawa dengan memanfaatkan kekuatan kolektif bersama, kami boleh mewujudkan sinergi yang akan memberi manfaat kepada seluruh komuniti maritim," katanya.
Kerjasama ini juga dijangka akan memberi impak yang luas kepada landskap perdagangan dan maritim di rantau Asia Tenggara.
Kedua-dua pihak juga komited untuk memupuk kerjasama, berkongsi pengetahuan, dan memacu pertumbuhan mampan dalam sektor maritim. - DagangNews.com








