KUALA LUMPUR 3 Julai - Ahli Kumpulan MMC, Johor Port Bhd memeterai memorandum kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam pelaksanaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.
Kerjasama itu secara khususnya melibatkan pembangunan kurikulum dan bahan latihan, selain menyediakan kemudahan latihan bagi program operasi pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang diperolehi di dalam industri pelabuhan dan logistik untuk meningkatkan latihan vokasional negara melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan pendedahan industri.
"Johor Port juga komited untuk beroperasi secara mampan, bertanggungjawab dan inklusif.
"Justeru, kerjasama selama tiga tahun dengan KSM ini adalah bukti komitmen kami untuk memberi kembali demi pembangunan masyarakat, di samping memperkasa industri dengan melahirkan bakat-bakat mahir," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis pertukaran memorandum kerjasama itu diwakili Derick dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar sambil disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ia juga merupakan satu lagi pencapaian bermakna buat Johor Port melalui JP Skills Centre (JPSC) yang bertanggungjawab menyediakan latihan kepada pelabuhan tempatan dan serantau.

Program latihan berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh JPSC juga telah menerima banyak pengiktirafan di peringkat tempatan dan global.
Pada tahun lepas, JPSC diiktiraf sebagai Penyedia Latihan TVET Terbaik (Pelabuhan & Logistik) di Anugerah Pendidikan & TVET Malaysia (META) dan pernah dinobatkan sebagai Penyedia Latihan Pelabuhan & Terminal Terbaik Dunia 2019 International Global Ports Forum. - DagangNews.com








