JLand Group sasar perkukuh portfolio pembangunan industri, perbandaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JLand Group sasar perkukuh portfolio pembangunan industri, perbandaran

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi JCorp (tengah) merasmikan pelancaran JLand Group pada 18 Januari 2023
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Johor Corporation (JCorp) melancarkan JLand Group Sdn Bhd (JLG) bagi memberi tumpuan meluaskan keupayaan hartanah dan infrastrukturnya sebagai satu daripada bidang perniagaan khusus. 

 

Susulan itu, JLG juga berhasrat untuk meluaskan dan mengembangkan portfolio pembangunan perindustrian dan perbandaran bagi menceburi pasaran tempatan dan serantau.

 

Setakat ini, JCorp menerusi kerjasama strategik JLG yang meliputi sektor potensi pertumbuhan tinggi termasuk logistik, pusat data dan tenaga boleh diperbaharui, telah menerima pelaburan berjumlah RM45.6 bilion pada 2022. 

 

Pelancaran ini susulan daripada strategi transformasi JCorp menyelaraskan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan anak-anak syarikatnya, yang bakal menyaksikan JLG muncul sebagai syarikat pegangan pelaburan untuk mengambil kesempatan daripada permintaan semakin meningkat bagi pelaburan hartanah strategik dan mampan di rantau ini. 

 

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp dan Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, ini masa paling sesuai untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu dalam sektor hartanah dan infrastruktur, dengan memanfaatkan kekuatan dan menangani keperluan pasaran yang kian berubah dalam sektor-sektor ini. 

 

"Bagi JCorp, matlamatnya pada masa depan ialah untuk membina sebuah entiti terulung yang memberi tumpuan terhadap teknologi dan infrastruktur dalam ekonomi baharu. 

 

"JLG ialah platform kami untuk mengukuhkan inovasi dan kecekapan modal, seterusnya menjamin keupayaan kami dalam rantaian nilai sedia demi membina ekosistem perniagaan yang mampan pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

jcorp

 

 

Syed Mohamed berkata, misi JLG ialah untuk menjadi penyedia penyelesaian hartanah sehenti yang memberikan kelebihan kompetitif kepada perniagaan sambil kami memenuhi keperluan, aspirasi dan kitaran hayat perniagaan, industri dan generasi masa depan. 

 

"Dengan membina ekosistem penyelesaian bersepadu meliputi perniagaan-perniagaan teras kami, JLG berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peluang pasaran dalam bidang hartanah, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia Pasifik yang lebih luas," katanya. 

 

Perniagaan teras JLG terdiri daripada empat tunggak strategik, iaitu pembangunan hartanah, pengurusan kitaran hayat aset, pelaburan hartanah dan infrastruktur serta utiliti. 

 

Bidang-bidang teras ini bertujuan menyelaraskan aktiviti dan operasi perniagaan kumpulan, yang akan memanfaatkan sepenuhnya nilai aset merangkumi pelbagai industri di dalam negara dan di peringkat serantau.

 

Menggembleng kekuatan tergabung anak-anak syarikat, sumber infrastruktur dan hubungan sektor kukuh kumpulan, JLG mempunyai keupayaan teras untuk memiliki, membina, mengendalikan dan menjana hasil dalam rantaian nilai hartanah dan infrastruktur. - DagangNews.com