Jendela di landasan tepat capai sasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jendela di landasan tepat capai sasaran

Jendela

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela) berjaya mencapai kesemua sasaran suku kedua yang ditetapkan dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran seterusnya.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Jendela untuk suku kedua Fasa 1 hari ini.

 

"Saya menyambut baik perkembangan semasa pelaksanaan pelan Jendela ini yang dijangka mampu memberi tahap pengalaman perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti kepada rakyat di seluruh negara.

 

"Kesan pelaksanaan projek-projek telekomunikasi di bawah pelan ini sudah mula dinikmati dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saifuddin Abdullah

 

Fasa 1 Jendela sudah bermula dan akan berterusan sehingga akhir tahun 2022 dengan mengfokuskan kepada usaha memperluaskan akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada sebanyak 7.5 juta premis selain memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk.

 

Fasa berkenaan turut mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir tahun 2021 bagi tujuan pemantapan rangkaian 4G dan memperkukuhkan rangkaian asas bagi 5G. 

 

Menyedari kepentingan 5G untuk perkhidmatan komunikasi lebih pantas, pelaksanaannya telah dipercepatkan setahun lebih awal daripada sasaran asal iaitu penghujung tahun 2022 kepada suku keempat tahun 2021.

 

Jendela membawa aspirasi peningkatan liputan dan pengukuhan infrastruktur kesalinghubungan negara yang mampan dan inklusif. 

 

Saifuddin menambah, perkembangan mengenai pencapaian semasa Jendela akan diumumkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam taklimat Laporan Suku Kedua Jendela yang akan dijalankan secara maya pada 7 April 2021.

 

Ujarnya, laporan Suku Kedua Jendela itu akan mengandungi pencapaian terkini usaha­usaha bagi memastikan premis-premis diliputi, pembinaan tapak baharu, naik taraf tapak sedia ada, sesi libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri berhubung pemakaian Garis Panduan Perancangan lnfrastruktur Komunikasi (GPP-1) untuk penyediaan tanah bagi membina infrastruktur telekomunikasi di kawasan pembangunan baharu.

 

Ia termasuk pemantauan tindakan penyelesaian segera aduan berkaitan kesalinghubungan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

 

Tambah beliau, dalam usaha memastikan agenda kesalinghubungan internet negara terus diperkasakan, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kerajaan termasuk peruntukan sebanyak RM21 bilion yang diumumkan semasa pelancaran MyDIGITAL yang akan dilaburkan dalam tempoh lima tahun. 

 

Sebanyak RM3.2 bilion daripada jumlah tersebut akan dibelanjakan pada tahun 2021 melalui Jendela di kawasan yang bukan komersialuntuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada.

 

"Kami di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan terus memantau perkembangan pelan ini secara menyeluruh bagi memastikan aspirasi Jendela direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.

 

"Kami juga terus menyeru kepada semua kerajaan negeri untuk memberi keutamaan kepada pelan ini dalam usaha melicinkan pelaksanaan projek-projek kesalinghubungan negara," katanya. - DagangNews.com