Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis tingkat usaha sebar konsep, hala tuju Keluarga Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis tingkat usaha sebar konsep, hala tuju Keluarga Malaysia - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada seorang penerima ketika perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis hari ini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KANGAR 25 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perlis 2022 yang diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

 

Ismail Sabri berkata, Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis bertujuan untuk meningkatkan usaha penyebarluasan konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia agar mudah difahami dan dihayati oleh semua.

 

Beliau berkata, seperti siri jelajah pertama, pelbagai program telah disediakan untuk memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan ‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘Kebersamaan’ (Common Ground) dan ‘Kesyukuran’ (Contentment).

 

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat saya bersama-sama dengan Keluarga Malaysia di Perlis bagi meneruskan Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada hari ini.

 

"Aspirasi Keluarga Malaysia telah dirasmikan di ibu negara akhir tahun lepas dan kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan siri jelajah di peringkat negeri bermula dengan Johor awal bulan ini dan Perlis hari ini.

 

"Saya yakin setiap lapisan masyarakat sudah sebati dengan konsep Keluarga Malaysia yang fokus utamanya ialah menyatu-padukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik seterusnya memulihkan negara dalam situasi mencabar ini," katanya dalam ucapan perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.

 

 

pm

 

 

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

 

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi membolehkan kerajaan negeri Perlis melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan jeti baharu di Kuala Perlis.

 

 

pm

 

 

"Selepas kajian ini selesai, kita akan melihat kemungkinan membina jeti baharu di Kuala Perlis," katanya.

 

 

pm

 

 

pm

 

 

Ketika ini, Jeti Kuala Perlis yang menjadi antara laluan utama ke Langkawi berhadapan masalah perairan berselut yang menyebabkan jadual feri terpaksa kerap ditunda sehingga menyusahkan pengguna. - DagangNews.com