Jangkaan untung bersih Ancom Nylex pada FY24 diturunkan 11% - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Jangkaan untung bersih Ancom Nylex pada FY24 diturunkan 11% - Kenanga Research

Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 4 April - Kenanga Research menyemak turun jangkaan untung bersih Ancom Nylex Berhad bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 11%.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prestasi Ancom Nylex pada separuh kedua FY24 akan terus dihampakan dengan margin keuntungan kimia perindustrian yang lemah.  

 

Katanya, bagaimanapun sebahagian kesan tersebut diimbangi pembelian kimia pertanian yang kukuh disokong oleh penawaran sedia ada dan pada masa sama masih terdapat ruang bagi meningkatkan jualan produk baharu.

 

"Kami memotong ramalan keuntungan bersih (Ancom Nylex) FY24F sebanyak 11% tetapi mengekalkan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham dan saranan 'Outperform'," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata Kenanga Research, Ancom Nylex dalam satu libat urus baru-baru ini menyatakan berhati-hati dengan prospek jangka pendek tetapi kekal positif untuk prospek jangka panjang.

 

Ujar firma itu, Ancom Nylex menyatakan Monosodium Methanearsonate (MSMA) Latin dan jualan Amerika Utara membantu mengimbangi permintaan di Thailand yang lebih rendah susulan cuaca kering semasa.

 

Katanya, lebih penting lagi, penggunaan MSMA di Brazil kini turut melibatkan penanaman kacang saya dan bukan hanya tebu dengan sumbangan yang mungkin dilihat pada FY25 dan seterusnya. 

 

"Kami terus menyukai Ancom Nylex untuk kedudukannya sebagai pengeluar bahan-bahan aktif  herbisid - racun berasaskan herba terbesar di Asia Tenggara dan penerima manfaat perluasan larangan penggunaan paraquat.

 

"Ancom Nylex juga penerima manfaat ketegangan perdagangan Amerika Syarikat - China serta menjadi proksi kepada pengeluaran makanan global dan matlamat keselamatan makanan," jelasnya. - DagangNews.com