Jangan buka dine-in jika peniaga sendiri tidak bersedia - SAMENTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jangan buka dine-in jika peniaga sendiri tidak bersedia - SAMENTA

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia atau SAMENTA menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai kemudahan tambahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap. Antara lainnya, aktiviti ‘dine-in’ dan pasar malam dan minggu dibenarkan.

 

''Ini petanda yang baik bahawa ekonomi negara hampir mencapai titik perubahan,'' kata Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, SAMENTA, Datuk William Ng.

 

Namun demikian kata beliau, ramai ahli SAMENTA di dalam sektor runcit dan makanan dan minuman (F&B) masih belum pasti sama ada untuk membuka semula perniagaan mereka, terutamanya kerana terpaksa bertanggungjawab terhadap tindakan dan pematuhan pelanggan mereka.

 

Semasa PKPP sebelum ini ujar beliau, ada perniagaan yang dikenakan denda maksimum RM50,000 kerana ketidakpatuhan SOP oleh pelanggan mereka.

 

''Memandangkan hukuman denda ini amat berat, ia menghantar isyarat bercampur (mixed signal) kepada para peniaga.

 

''Kami sekali lagi meminta kerajaan untuk membenarkan pembukaan kembali semua sektor ekonomi apabila 80% penduduk setiap negeri telah menerima vaksinasi lengkap, dan bukan pendekatan mengikut fasa yang menimbulkan kekeliruan bagi perniagaan dan agensi penguatkuasaan,'' ujarnya dalam kenyataan di sini.

 

William berkata, pihaknya menasihatkan semua PKS mengambil langkah berjaga-jaga di dalam membuka kembali perniagaan mereka, termasuk mengikuti semua SOP semasa.

 

''Jika mana-mana PKS kurang pasti dengan kebolehan mereka sendiri untk menguatkuasakan SOP di dalam premis mereka, mereka boleh membuat ketetapan yang melebihi SOP sedia ada.

 

''Sebagai contohnya, walaupun dine-in dibenarkan, pemilik restoran berhak tidak mengizinkan dine-in jika tidak pasti dapat menguatkuasakan SOP secukupnya,'' ujar beliau. - DagangNews.com