KUALA LUMPUR 19 Okt - Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Jamaluddin Muhammad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu diumumkan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dalam satu kenyataan malam tadi, yang berkata pelantikan itu diputuskan oleh mesyuarat Lembaga Pengelola Bernama di sini hari ini.
“Kita berharap dengan pengalaman dan pengetahuan luas beliau, Jamaluddin dapat menerajui Bernama dalam menghadapi cabaran semasa industri media,” kata Wong.
Jamaluddin, 59, menggantikan Roslan Ariffin yang telah berkhidmat sejak Julai tahun lepas.
Jamaluddin merupakan lulusan jurusan Komunikasi Massa (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan telah berkhidmat di agensi berita itu sejak 38 tahun lepas.
Beliau pernah bertugas sebagai Ketua Biro Kedah, Ketua Biro Putrajaya, Koresponden Bernama di Thailand dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Dalam Negeri serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 9 Jun lepas. Lembaga Pengelola merakamkan setinggi penghargaan kepada Roslan atas perkhidmatan beliau.
Editor DagangNews, Johardy Ibrahim yang pernah tinggal serumah dengan Jamaluddin semasa berkhidmat di Bernama pada 1993, turut mengutuskan ucapan tahniah kepada beliau yang mesra dipanggil `James'.
"Sebagai junior, saya belajar penulisan James yang fasih Inggeris dan Bahasa Malaysia, dan saya beruntung pernah duduk serumah, merasa masakan beliau dulu-dulu.
"Kedua-dua ramuan ini menjadikan James memiliki keseimbangan menjaga rumah Bernama yang besar ini," kata Johardy.
Jawatan Ketua Pengarang yang dikosongkan oleh Jamaluddin belum diumumkan penggantinya, namun mengikut kekananan yang ada, Bernama mungkin menyaksikan wanita pertama sebagai KP agensi berita itu. - DagangNews.com








