KUALA LUMPUR 25 Ogos - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) melancarkan siasatan berhubung dakwaan kebocoran atau penyalahgunaan data berkaitan skim insurans hayat kerajaan Selangor, Insurans Hayat Selangor (Insan).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, jabatan itu mempunyai kuasa penuh di bawah undang-undang untuk menjalankan siasatan terhadap sebarang insiden atau kes berkaitan kebocoran, penyalahgunaan atau kompromi data peribadi.
Fahmi juga tidak menolak kemungkinan jabatan itu akan memanggil semua pihak yang terlibat termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melengkapkan siasatan berhubung kes itu.
"JPDP mempunyai kuasa untuk menyiasat apabila ia mengesan sebarang insiden berkaitan dakwaan kebocoran data.
"Dan saya mendapat tahu bahawa jabatan itu telah pun melancarkan siasatan terhadap kes itu (dakwaan kebocoran data yang dikaitkan dengan Insan).
"Justeru, buat masa ini saya tidak boleh mengulas atau menghuraikan perkara itu memandangkan saya masih belum menerima sebarang maklumat terkini (mengenai hasil siasatan terhadap isu itu)," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen #JagaDataKita dan MyCyberShield di sini hari ini, lapor New Straits Times.
Ditanya sama ada jabatan itu akan memanggil SPR yang turut diheret dalam dakwaan itu, Fahmi menjawab, "Saya serahkan kepada mereka...

"Sesiapa sahaja yang mereka percaya mereka perlu bercakap dengan (mengenai kes itu), mereka boleh (berbuat demikian). Mereka (JPDP) mempunyai kuasa penuh di bawah undang-undang," kata Fahmi.
Fahmi turut ditanya sama ada data pengundi daripada SPR boleh dibeli dan digunakan oleh pihak ketiga untuk tujuan komersial.
"Untuk pengetahuan saya, tiada had penggunaan data (pemilih yang diperoleh daripada SPR). Bagaimanapun, anda perlu mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu daripada SPR.
"Sebelum saya menjadi Ahli Parlimen (Lembah Pantai), sebagai rakyat persendirian, saya boleh dan telah membeli data (pemilih daripada SPR) untuk tujuan melakukan kerja-kerja politik sebagai seorang yang ingin bertanding di Lembah Pantai pada pukul masa.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, anda perlu menyemak perkara itu dengan suruhanjaya," katanya.
Fahmi bagaimanapun mengakui SPR telah melakukan penambahbaikan terhadap data pengundi yang boleh diakses oleh orang ramai selama ini.
"Ada masa yang mana laman web EC mengandungi maklumat yang lebih terperinci. Namun, semua itu berubah selepas terdapat isu dan kebimbangan berkaitan perlindungan data peribadi.
"Melangkah ke hadapan, terpulang kepada SPR untuk mempertimbangkan tindakan seterusnya (untuk mengukuhkan perlindungan data peribadinya)," kata Fahmi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini menafikan dakwaan kebocoran atau penyalahgunaan data di bawah Insan yang tular di media sosial.
Menteri Besar Incorporated (MBI Selangor) baru-baru ini turut mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan dakwaan terdapat kebocoran data penduduk Selangor adalah tidak tepat.
MBI Selangor berkata, inisiatif kerajaan Selangor, yang bermula pada 1 Oktober 2022, bertujuan memberi perlindungan insurans am kepada enam juta penduduk Selangor dengan badan korporat itu sebagai agensi pelaksana dan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan.
Insan bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian, sejajar dengan peningkatan yang dilaporkan dalam jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia daripada 370,286 pada 2021 kepada 545,588 pada 2022.
Disebabkan aduan kelayakan pendaftaran khususnya warga emas, MBI Selangor berkata kerajaan Selangor melaksanakan proses prapendaftaran secara automatik dengan memadankan maklumat daftar pemilih SPR dan nombor kad pengenalan rakyat dan penduduk negeri itu. - DagangNews.com








